SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda kesihatan rakyat melalui pelaksanaan dua inisiatif utama, iaitu Selangor Lifestyle Improvement Module (SLIM) dan Anak Selangor Anak Sihat (ASAS).
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata SLIM memberi penekanan kepada aktiviti fizikal mudah tetapi berkesan dengan objektif menggalakkan masyarakat bergerak aktif, mengekalkan tahap kecergasan serta mengurangkan kadar obesiti.
Katanya, pendekatan itu juga penting dalam usaha mencegah penyakit tidak berjangkit dan meningkatkan kualiti hidup.
Sementara ASAS pula memberi fokus kepada kanak-kanak melalui pemakanan seimbang, pengambilan makanan berkhasiat dan kesedaran tentang diet yang sesuai untuk tumbesaran mereka.
"Program ini penting bagi memastikan generasi muda membesar dengan sihat, cerdas dan mempunyai asas kesihatan yang kukuh untuk masa hadapan," katanya menerusi Facebook.
Menurut beliau lagi, SLIM dan ASAS mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri meningkatkan taraf kesihatan rakyat.
“Kesihatan masyarakat bermula daripada gaya hidup dan pemakanan yang baik,” katanya.
Kerajaan Negeri turut menegaskan komitmen untuk terus memperluas serta menambah baik pelaksanaan inisiatif ini agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat, selaras dengan hasrat menjadikan Selangor sebuah negeri makmur, sihat dan sejahtera.





