Agensi antirasuah Kenya teroka peluang kerjasama dengan SPRM dalam pelbagai bidang

19 Ogos 2025, 11:48 AM
Agensi antirasuah Kenya teroka peluang kerjasama dengan SPRM dalam pelbagai bidang
Agensi antirasuah Kenya teroka peluang kerjasama dengan SPRM dalam pelbagai bidang
Agensi antirasuah Kenya teroka peluang kerjasama dengan SPRM dalam pelbagai bidang

PUTRAJAYA, 19 OGOS: Ethics and Anti-Corruption Commission (EACC) iaitu agensi antirasuah Kenya berhasrat menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pelbagai bidang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata agensi itu berminat untuk bertukar pengetahuan dan amalan terbaik dalam strategi antirasuah, tatakelola dan operasi institusi.

Beliau berkata hasrat itu dinyatakan ketika menerima kunjungan delegasi EACC di ibu pejabat SPRM di sini hari ini yang diketuai Pesuruhjaya EACC Dr Cecilia Mutuku.

"Ia (kunjungan) juga memberi peluang kepada delegasi EACC untuk memperoleh pemahaman mendalam mengenai struktur organisasi dan model operasi SPRM serta program latihan ditawarkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azmi Kamaruzaman bergambar bersama Pesuruhjaya Ethics and Anti-Corruption Commission (EACC) Kenya Dr Cecilia Mutuku di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada 19 Ogos 2025. Foto Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Azmi berkata SPRM juga dapat memperkukuh kerjasama selain meneroka potensi jalinan strategik masa hadapan antara EACC dan SPRM dalam usaha memerangi rasuah.

Antara pengisian lawatan delegasi itu termasuk sesi perkongsian pengalaman, lawatan fasiliti, lawatan ke Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan pejabat SPRM Kuala Lumpur serta perbincangan berkaitan pencegahan dan pembangunan profesional.

"Secara keseluruhan, lawatan ini bertujuan meningkatkan keupayaan institusi dan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kenya dalam inisiatif antirasuah," katanya.

Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM Rasidah Abdul Karim, Pengarah Direktorat Perkhidmatan Undang-Undang (EACC) David K Too dan beberapa anggota pengurusan tertinggi EACC.

- BERNAMA