1,100 menara telekomunikasi dikesan perlu jalani pemutihan, elak gangguan rangkaian

19 Ogos 2025, 11:12 AM
1,100 menara telekomunikasi dikesan perlu jalani pemutihan, elak gangguan rangkaian
1,100 menara telekomunikasi dikesan perlu jalani pemutihan, elak gangguan rangkaian

SHAH ALAM, 19 OGOS: Sebanyak 1,100 menara telekomunikasi di Selangor dikenal pasti perlu menjalani proses pemutihan bagi mengelakkan gangguan rangkaian kepada pengguna.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata daripada jumlah itu, sekitar 800 menara didapati tidak bertuan atau dipercayai dibina di atas tanah haram sejak lebih 10 tahun lalu.

EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada media ketika ditemubual di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pada 19 Ogos 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kerajaan Negeri meneliti untuk merobohkan menara telekomunikasi tidak bertuan dan haram ini termasuk akan memberi notis perobohan dalam tempoh 30 hari.

“Tindakan ini penting untuk masa depan Selangor dalam menjadi sebuah negeri pintar. Gangguan rangkaian tidak sepatutnya wujud kerana ia akan memberi imej buruk kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi Libat Urus Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama pusat khidmat wakil rakyat di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Program yang disertai 50 peserta itu bertujuan mencari penyelesaian lebih holistik, memperkenal saluran aduan rasmi yang tersusun selain memperkukuh kerjasama antara SKMM dan pejabat wakil rakyat.

Peserta mengikuti program sesi libat urus bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 19 Ogos 2025. foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Sesi libat urus ini memberi peluang untuk memahami secara lebih mendalam beberapa inisiatif penting dibawa SKMM antaranya kempen Internet Selamat.

“Saya berharap inisiatif ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan mereka yang hadir boleh menjadi duta maklumat di komuniti masing-masing bagi menyampaikan pengetahuan yang diperoleh,” katanya.