SHAH ALAM, 18 OGOS: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menuduh beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menerusi kenyataan hari ini, AGC menegaskan keputusan menuduh suspek bagi kes buli tersebut sama sekali tidak akan mengganggu proses inkues.
"Keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan menggangu proses inkues yang akan berjalan.
"Jabatan ini menegaskan bahawa walaupun keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli dibuat, namun keputusan tersebut tidak akan menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh polis berhubung kes kematian Zara Qairina, termasuk prosiding inkues yang akan dijalankan di mahkamah,” menurut kenyataan itu.
Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai.
Allahyarham ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada pagi 16 Julai.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.





