ad

Tidak puas hati kereta ditunda dipercayai punca lelaki bakar trak tunda

17 Ogos 2025, 10:15 AM
Tidak puas hati kereta ditunda dipercayai punca lelaki bakar trak tunda

JOHOR BAHRU, 17 OGOS: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes khianat dengan api melibatkan sebuah trak tunda milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di depoh simpanan kenderaan, Lot 1 Johor Bahru Waterfront Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dan kejadian dipercayai berpunca ketidakpuasan hati suspek selepas kereta Perodua Axia miliknya ditunda pihak MBJB sehari sebelum itu.

“Suspek yang tidak mempunyai wang untuk membayar kompaun didakwa bertindak di luar batasan dengan menuang petrol dan membakar trak berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM10,000.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek pada hari sama jam 1.06 tengah hari dan merampas beberapa barang kes termasuk sebuah tong aluminium serta pemetik api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata semakan rekod lampau mendapati suspek pernah terlibat dalam kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, namun saringan air kencing yang dilakukan didapati negatif.

Beliau berkata suspek kini direman lima hari bermula semalam hingga 19 Ogos bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tular satu hantaran video berdurasi satu minit 39 saat di laman sosial Facebook memaparkan seorang lelaki menghampiri trak tunda milik MBJB dan menuang dipercayai minyak petrol sebelum menyalakan api.

Turut kelihatan dalam video berkenaan dua individu bertindak membantu memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.