SHAH ALAM, 16 OGOS: Semua tandas awam di Selangor yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menjadi tandas mesra warga emas sebagai persediaan menghadapi cabaran negara menua.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata kemudahan itu antaranya adalah menyediakan rel tangan, palang pegangan serta pemilihan jubin lantai tandas yang tidak licin.
“Penambahbaikan untuk tandas awam melalui reka bentuk yang lebih baik termasuk rel tangan, palang pegangan, lantai tidak licin dan juga butang panik.
“Semakin meningkat usia, mereka (warga emas) sering menghadapi pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan rutin harian dan berdikari,” katanya, lapor The Star.
Menurut Suee Lim, beliau akan membangkitkan isu tersebut pada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap (Stanco) untuk mendapatkan pandangan semua PBT berhubung perkara berkenaan.

"Mesyuarat Stanco akan membincangkan pendekatan yang lebih baik kepada persekitaran yang lebih inklusif dan mesra warga emas," tambahnya.
Mesyuarat Stanco diadakan setiap tiga bulan untuk membincangkan atau menyemak dasar dan mencadangkan penyelesaian berhubung isu tempatan.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan jumlah individu berumur 60 tahun ke atas di Selangor berjumlah 853,760 orang pada tahun lalu.
Selain itu, negara juga dijangka mencapai status negara menua pada 2030 dengan dianggarkan 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah warga emas.