PUTRAJAYA, 15 OGOS: Malaysia mengecam kenyataan terbaharu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang mempropagandakan visi peluasan wilayah haram dikenali sebagai “Greater Israel”.
Dalam kenyataan semalam, Menteri Luar berkata tindakan yang dirancang itu merupakan pelanggaran nyata terhadap Konvensyen Geneva Keempat dan bertujuan mengukuhkan pendudukan haram di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).
Projek E1 yang meliputi kawasan antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Tujuan utamanya adalah untuk memecah-belahkan Tebing Barat, menghapuskan kedaulatan Palestin dan sekali gus memusnahkan penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut menyatakan Malaysia turut mengecam pembunuhan sengaja sama sekali tidak dapat menerima pembunuhan wartawan dan petugas media secara sengaja di Semenanjung Gaza yang merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan pencabulan nyata Resolusi 2222 Majlis Keselamatan PBB mengenai perlindungan wartawan di kawasan konflik.
“Serangan yang disasarkan ini adalah sebahagian daripada kempen sistematik rejim Zionis Israel untuk menutup laporan bebas, termasuk menghalang penyebaran maklumat seperti keganasan oleh peneroka, serta menyembunyikan jenayah perang dan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang sedang dilaksanakan di OPT,” menurut kenyataan itu lagi.
Kementerian itu menegaskan komitmen teguh Malaysia terhadap perjuangan Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa mesti bertindak sekarang untuk segera menghentikan segala usaha haram rejim Zionis Israel ini serta memastikan hak asasi, keselamatan dan kebebasan rakyat Palestin terpelihara,” katanya.
Menurut laporan media, Netanyahu mempromosikan visi peluasan haram dan tidak sah “Greater Israel”, di samping meluluskan pembinaan ribuan unit penempatan di kawasan E1 antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di OPT.
- BERNAMA