SHAH ALAM, 15 OGOS: Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) selesai menyalurkan bantuan sewa rumah sementara fasa dua berjumlah RM864,000 kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata bayaran meliputi tempoh Julai hingga September 2025 itu, telah dikreditkan kepada 144 Ketua Isi Rumah (KIR) pada 6 Ogos lalu.
“Penentuan senarai penerima dibuat selepas proses semakan semula data oleh Unit Pengurusan Bencana Petaling bersama Jawatankuasa Kecil Penyedia Data Mangsa dan wakil komuniti setempat.
“Ia mengambil kira beberapa faktor seperti rumah yang telah siap dibaiki, mangsa yang merupakan penyewa dan telah berpindah, atau yang tidak lagi memerlukan bantuan sewa sementara,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, bantuan itu adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan mangsa terpelihara sementara mereka mengurus penempatan semula atau pembaikan rumah.
“Pelaksanaan bantuan sewa ini diharap dapat memberi kelegaan sementara dan membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada pemulihan kehidupan harian.
“Bagi mangsa yang masih belum hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk membuat tuntutan semula bantuan sewa, mereka digesa untuk hadir segera bagi membolehkan semakan semula kelayakan dibuat dan bantuan disalurkan sekiranya layak,” katanya.
Menurutnya, pada fasa pertama bagi tempoh April hingga Jun 2025, seramai 365 KIR menerima bantuan sewa rumah sementara dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.19 juta.
Manakala, 78 KIR tidak memerlukan bantuan atas sebab tertentu termasuk telah menetap di rumah sendiri, kerosakan kecil, berada di luar negara atau menolak bantuan.
Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi 1 April lalu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70x80 kaki.
Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.
End.