ad

Aktivis desak gubal Akta Anti Buli segera, mangsa perlu perlindungan undang-undang

15 Ogos 2025, 6:53 AM
Aktivis desak gubal Akta Anti Buli segera, mangsa perlu perlindungan undang-undang

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Sekumpulan aktivis mendesak kerajaan mempercepatkan penggubalan Akta Anti Buli bagi mengatasi gejala buli yang semakin meruncing.

Pengerusi Gerakan Gubal Anti Buli (GAB), Wan Azliana Wan Adnan berkata akta yang dicadang itu memberi definisi jelas berkaitan maksud buli dan menganggap perbuatan tidak bermoral itu sebagai jenayah.

Tambahnya, akta tersebut juga akan memberi perlindungan sewajar kepada mangsa dan memastikan pelaku bertanggungjawab terhadap perbuatan membuli.

“Belum ada lagi Akta Buli di Malaysia, sebab itu kita perjuangkan. Mesti ada akta khusus merangkumi semua definisi apa itu buli. Namun bagi Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, perkataan buli tidak digunakan.

Peguam GAB, Wan Azlina Wan Adnan bercakap kepada media ketika Sidang Media Gerakan Gubal Anti Buli (GAB) di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Jadi bagaimana nak mengatakan bahawa buli itu perbuatan jenayah? Ini menyebabkan masyarakat, penguatkuasa dan kami (peguam) keliru apa itu buli? Jadi perlu undang-undang khusus yang memberi definisi buli? Buli fizikal, buli mental dan buli siber?,” jelasnya dalam sidang media di sini.

Hadir sama peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdullah, Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-Kanak CPC International, Dr Noor Aishah Rosli dan bekas pegawai kehakiman, Abdul Hayyi Salim.

GAB bermula 2022 dengan penghantaran memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dan Kementerian Pendidikan Malaysia namun kajian akta bersama Unisza terhenti pada 2023 akibat kekangan dana.

Wan Azliana berkata, setelah empat tahun GAB muncul dengan melancarkan petisyen Gubal Akta Anti Buli melibatkan suara rakyat bagi mempercepatkan pelaksanaan akta berkenaan.

“Kami hanya boleh melontar cadangan dan idea, jadi sambutlah seruan kami. Ambil serius isu buli ini, sampai bila? Saya tak mahu kes seperti sekarang berlalu begitu sahaja.

“Satu lagi perlu faham, undang-undang sentiasa berkembang, bukan kita kata undang-undang sedia ada tidak bagus, tetapi kena ada akta khusus untuk mengatakan definisi buli dan budaya buruk ini perlu dihenti segera,” katanya.

Orang ramai boleh menandatangani petisyen Gubal Akta Anti Buli Sekarang menerusi laman web https://www.change.org/p/gubal-akta-anti-bulisekarangffd901ad-49f3-4e07-847d-91465df8e7d6?source_location=search

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.