KUALA SELANGOR, 15 OGOS: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor menyerbu kawasan tanah seluas kira-kira 100 ekar milik persendirian di Kampung Seri Sentosa, Ijok, di sini, yang dipercayai menjadi tapak pelupusan sampah haram sejak lebih sembilan tahun lalu.
Dalam operasi bersepadu selama sembilan jam bersama kira-kira 100 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi itu, empat jentera berat bernilai lebih RM200,000 yang dipercayai digunakan bagi mengurus kawasan longgokan sampah disita pihak berkuasa.
Serbuan tersebut dilakukan selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan mengeluarkan pelbagai notis dan kompaun kepada pemilik tanah sejak beberapa tahun lalu.
Malah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin juga turun padang ke kawasan tersebut pada Mac lalu, bagi merangka pelan penyelesaian menyeluruh.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan PTG Negeri Selangor, Muhammad Nadzirul Hafizi M. Daud berkata operasi diadakan bagi menyelesaikan isu berkaitan tapak sampah haram yang dilihat semakin serius.

“Kalau ikutkan isu ini sudah diperingkat yang agak membimbangkan, jadi kita ambil tindakan yang sewajarnya terhadap aktiviti yang mendatangkan kacau ganggu kepada orang awam.
“Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana memandang serius perkara ini. Pada masa hadapan kita akan cuba pastikan isu sampah haram terutamanya di kawasan ini dapat diselesaikan dengan lebih tuntas,” katanya selepas operasi, semalam.
Dalam operasi itu, sebuah lori satu tan milik syarikat operator sampah turut disita kerana datang untuk melupuskan sisa di tapak sampah haram terbabit.
Suasana turut kecoh di lokasi lain apabila ahli keluarga pemilik tapak pelupusan sampah haram tidak berpuas hati berikutan jenteranya disita pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Muhammad Nadzirul Hafizi berkata pihaknya berdepan kesukaran sepanjang operasi dijalankan berikutan pemilik tapak sampah haram sengaja melakukan sabotaj terhadap jentera yang diletakkan di lokasi.
“Kami mendapat halangan apabila jentera ini disabotaj pemilik. Kebanyakan jentera ini dilucutkan rantai, dicabut bateri, dan minyak dibuang keluar sehingga menyebabkan mesin tersebut tidak dapat berfungsi.
“Bagaimanapun dengan kekuatan dan kemahiran kita, kita dapat selesaikan kekangan tersebut. Cuma tentangan daripada orang awam itu adalah perkara biasa,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Misliza Misran, 47, berkata keluarganya berdepan ancaman haiwan berbisa seperti ular dan anjing liar akibat longgokan sampah haram yang tidak terurus.

“Sampai bila kita mahu hidup begini. Bau setiap hari terutamanya ketika hujan. Lalat pun banyak. Saya harap kalau boleh hentikan lah. Kasihan kepada kami, memang tidak selesa,” katanya yang sudah 12 tahun tinggal di kawasan itu.
Selain mencemarkan alam sekitar dan mengganggu kehidupan penduduk sekitar, tapak sampah haram di Kampung Seri Sentosa juga dilaporkan pernah terbakar beberapa kali, dengan kes terbaharu adalah pada Julai lalu.
Jika dihitung, kawasan seluas 100 ekar itu menyamai separuh daripada keluasan Istana Negara dan boleh memuatkan 72 padang bola sepak dan 12 bangunan Menara Berkembar Petronas (KLCC).