PETALING JAYA, 14 OGOS: Perkhidmatan Multiawan Selangor (SMC) yang dilancarkan hari ini, bakal mempercepat penerapan budaya kecerdasan buatan (AI), sekali gus memacu transformasi digital ke arah negeri pintar dan berdaya digital.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu juga bakal meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam selain anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meliputi aspek perumahan, sistem air, pengurusan sisa pepejal dan teknologi digital.
Jelasnya, bermula dengan MBI Selangor dan anak syarikat bagi suku ketiga tahun ini, penggunaan SMC akan diperluas secara berperingkat kepada agensi Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan dan institusi lain dengan kesediaan operasi penuh dijangka selewat-lewatnya suku keempat tahun depan.
“Ini antaranya akan mempercepatkan urusan di kaunter perkhidmatan rakyat yang melibatkan anak syarikat MBI seperti Air Selangor dan KDEB Waste Management, KUSEL yang terlibat dalam pengurusan koridor pengurusan utiliti, SSDU dan Tourism Selangor.
“Ia juga akan mengurangkan kos pentadbiran, agar lebih banyak peruntukan negeri dapat disalurkan kepada pendidikan, kesihatan dan infrastruktur selain menjamin keselamatan data peribadi, sambil membuka ruang kepada inovasi yang memudahkan kehidupan seharian,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran SMC di sini.
Tambahnya, SMC merupakan inisiatif yang selari dengan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang menekankan inovasi, kecekapan, keselamatan data dan keterangkuman digital.
“Dengan mematuhi piawaian keselamatan dan kedaulatan data peringkat kebangsaan, SMC memastikan transformasi digital Selangor kekal selamat, inklusif dan berdaya saing.
“Melalui kerjasama strategik bersama rakan teknologi global, SMC berupaya menggalakkan penerapan penyelesaian multiawan yang selamat, mudah diperluas dan menjimatkan kos dalam kalangan agensi negeri serta syarikat milikan di bawah MBI Selangor, sekali gus mempercepat usaha transformasi digital di peringkat negeri,” katanya.
Dalam sidang media, Amirudin berkata insiatif strategik itu diterajui Kerajaan Negeri melalui MBI Selangor menerusi syarikat milikannya Smartsel Sdn Bhd (SMARTSEL), bersama Amazon Web Services (AWS), Alibaba Cloud dan Google Cloud yang dipermudah oleh VSTECS Berhad, Awantec Systems Sdn Bhd dan Enfrasys Consulting Sdn Bhd.
“SMC dijangka dapat memperkukuh perkhidmatan kerajaan negeri dengan mempertingkatkan infrastruktur digital, membina keupayaan dalaman dan menggalakkan inovasi.
“Selain mempercepat penerapan teknologi digital di agensi kerajaan negeri dan anak syarikat MBI, ia akan memperkukuh kedudukan MBI Selangor sebagai penyedia utama penyelesaian keterhubungan dan infrastruktur awan,” katanya.