SHAH ALAM, 14 OGOS: Kes jangkitan baharu HIV di Malaysia mencatatkan trend penurunan sejak dua dekad lalu, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Kementerian itu memaklumkan, walaupun penurunan ketara dicatatkan iaitu 50 peratus bagi tempoh 2000 hingga 2009 dan 27 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2024, namun angka melibatkan golongan muda tetap membimbangkan.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 3,185 kes baharu direkodkan pada tahun 2024, dengan tujuh peratus atau 222 kes melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) berumur antara 18 hingga 25 tahun.
“Peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa menjadi perhatian serius kerajaan. Pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma, serta menyediakan akses kepada rawatan.
"Kerjasama melibatkan pelbagai pihak seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Malaysian AIDS Foundation (MAF) dan Malaysian AIDS Council (MAC)," tambah kenyataan itu.
Terdahulu dalam sidang Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis, meminta penjelasan kementerian itu mengenai kenaikan kes jangkitan HIV dalam kalangan lepasan sekolah dan penuntut universiti.
Kementerian itu menambah, antara langkah yang digerakkan KKM termasuk meningkatkan literasi dan kesedaran mengenai HIV/AIDS dalam kalangan masyarakat melalui program PROSTAR 2.0, memperluas akses saringan HIV menerusi ujian HIV Kendiri dan laman web TestNow, serta menyediakan rawatan pencegahan HIV atau PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) kepada pasangan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) dan individu berisiko.
"Di pihak KPWKM, Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) 2022-2025 telah dibangunkan bagi melahirkan individu yang berpengetahuan dalam kesihatan reproduktif dan sosial.
"Melalui pelan ini, dua modul utama iaitu Modul Cakna Diri Remaja dan Modul ACE (Tepat, Menyeluruh dan Berkesan) diperkenalkan untuk memberi penekanan kepada kemahiran insaniah, amalan berpantang sebelum berkahwin, serta pemahaman konsep 3R, ‘Hak, Hormat dan Hubungan’ dalam interaksi antara jantina," jelas kementerian itu menerusi jawapan bertulis.