ad

EXCO: Selangor perkasa inisiatif, rangka pelan hapus budaya buli

14 Ogos 2025, 5:42 AM
EXCO: Selangor perkasa inisiatif, rangka pelan hapus budaya buli

SHAH ALAM, 14 OGOS: Selangor melaksana pelbagai inisiatif termasuk program celik teknologi maklumat serta advokasi bagi melindungi masyarakat khususnya belia daripada menjadi pembuli atau mangsa buli, terutama di media sosial.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata, penerangan peraturan dan undang-undang turut diadakan bagi memastikan masyarakat terutama golongan muda faham kesan buli dan tindakan yang boleh diambil terhadap pelaku malah implikasinya kepada mangsa.

Jelas Mohd Najwan, Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan juga, sedang mengkaji dan merangka pelan tindakan khusus bagi menghapuskan budaya buli secara menyeluruh terutama di negeri ini.

“Umum mengetahui budaya buli menjadi barah dalam masyarakat tanpa mengira umur, kaum atau latar belakang.

“Ia bukan saja telah meragut nyawa, malah meninggalkan kesan mental dan fizikal yang mendalam dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi ketika sidang media selepas majlis perasmian Selangor Future Cup 2025 di Aeon Shah Alam pada 22 Februari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Tambah Mohd Najwan, organisasi belia khususnya memainkan peranan penting sebagai ‘mata dan telinga’ dalam memantau serta mencegah kes buli kerana mereka merupakan pihak yang lebih dekat dengan pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

“Kerajaan Negeri akan terus menggerakkan jentera sedia ada seperti Penggerak Belia Selangor, Majlis Belia Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) serta agensi berkaitan untuk menjadi ejen pencegahan dan melaporkan kes yang berlaku.

“Program sedia ada di sekolah oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan JPNS juga akan diselitkan modul kesedaran dan pencegahan buli memandangkan buli, sama seperti dadah, boleh membawa kepada kematian,” katanya.

Kematian tragis Zara Qairina Mahathir,13, di sebuah sekolah berasrama di Sabah baru-baru ini kembali mencetuskan perhatian terhadap kes buli yang membelenggu masyarakat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor akan memantau dengan ketat isu buli di sekolah, khususnya di sekolah berasrama di bawah kelolaan Kerajaan Negeri.

Tegasnya, tiada kompromi terhadap perbuatan buli kerana ia memberi kesan psikologi dan fizikal yang serius, malah boleh meragut nyawa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.