ad

Perbahasan anak muda bergema, peserta ADN Muda pamer bakat

14 Ogos 2025, 4:21 AM
Perbahasan anak muda bergema, peserta ADN Muda pamer bakat

Suasana di Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi itu terasa berbeza. Suara anak muda bergema di setiap sudut.

Mereka lantang berdebat, mencabar hujah dan sesekali bersetuju untuk “berbeza pendapat” demi mencari penyelesaian terbaik.

Semangat itu jelas terpancar di wajah 56 peserta yang terpilih untuk menyertai program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2025.

Kemuncak acara kali ini yang berlangsung pada 28 Julai mencatat sejarah apabila julung kalinya seorang peserta orang kurang upaya (OKU) penglihatan menyertai gelanggang demokrasi ini.

Disahkan menghidap Neuropati Optik Keturunan Leber pada usia 23 tahun, Muhammad Aliff Mohd Ghazali, 30, tidak pernah melihat kekurangan diri sebagai halangan.

Dengan bantuan telefon pintar dan komputer bercirikan audio, beliau membuktikan mata bukan syarat untuk melihat masa depan, tetapi suara dan idea memainkan peranan penting.

Muhammad Aliff yang juga OKU penglihatan teruja menyertai program ADN Muda Selangor.

“Saya memang tidak menyangka terpilih ke pusingan akhir kerana saya tahu peluang agak tipis dan perlu bersaing bersama 112 peserta lain.

“Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan keluarga, saya mara ke pusingan ini. Walaupun ada kekurangan, saya mampu mengikuti setiap sesi,” katanya.

Seorang lagi peserta, Jason Kng Wei Liang, 26, yang pernah menyertai Sidang Muda Pulau Pinang, memuji usaha Kerajaan Negeri memberi ruang kepada belia untuk menyumbang idea.

“Program ini peluang keemasan untuk anak muda berkongsi pandangan apatah lagi ketika negara giat memperkasa belia menerusi Undi18.

“Saya suka berkongsi idea yang membawa penambahbaikan dan inilah platformnya,” katanya.

Tidak dinafikan, golongan belia masih kekurangan medium untuk menyuarakan pandangan mahupun idea kepada kerajaan.

Justeru, M R Yashini, 22, menggunakan peluang diberi Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keyakinan diri dalam merangka dan memperbaiki dasar untuk kebaikan bersama.

“Sebelum ini, saya terlibat dalam beberapa program dengan Majlis Belia Hindu Selangor. Dari situ saya dimaklumkan mengenai program ini.

“Saya bersyukur kerana keluarga turut beri sokongan walaupun kebiasaannya agak susah untuk anak perempuan seperti saya menyertai program sebegini,” katanya.

Namun, di sebalik potensi besar golongan ini, wujud satu kebimbangan. Semakin ramai anak muda di Malaysia bersikap acuh tak acuh terhadap politik.

Kajian Pemuda Kebangsaan Merdeka Center 2021 mendedahkan majoriti belia berusia 18 hingga 30 tahun mempunyai pandangan negatif terhadap politik negara.

Farees Ashraf dinobat sebagai pembahas terbaik.

Sebanyak 66 peratus percaya pegawai awam dan ahli politik tidak peduli pandangan mereka, manakala 70 peratus lagi mengaku tidak berminat dengan maklumat politik.

Inilah jurang yang cuba dirapatkan menerusi ADN Muda Selangor. Lebih daripada sekadar program latihan, ia adalah pentas sebenar untuk belia merasai pengalaman menjadi wakil rakyat.

Bermula daripada memahami proses pembuatan dasar, perbahasan hinggalah pelaksanaan di peringkat negeri.

Sambutan program kali ini amat menggalakkan apabila 166 permohonan diterima, peningkatan 84 peratus berbanding tahun lalu.

Seramai 112 peserta melayakkan diri ke pusingan pertama yang berlangsung pada 14 Jun.

Hanya 56 peserta berjaya melepasi pusingan pertama dan mengikuti program khas bawah Dewan Negeri Selangor pada 28 dan 29 Julai.

“Peningkatan ini mencerminkan minat tinggi golongan belia terhadap proses demokrasi dan pentadbiran negeri," kata Speaker DNS Lau Weng San.

Pencapaian peserta:

Muhammad Farees Ashraf Noh

Anugerah Pembahas Terbaik

Leindenn Cheng Lin-Rui

Anugerah Peserta Terbaik

Muhammad Aliff Mohd Ghazali

Anugerah Peserta Terbaik

Nur Damia Batrisyia Azman

Anugerah Peserta Terbaik

Ameer Hazeem Mohd Zaky

Anugerah Peserta Terbaik

Muhammad Eizlan Mohd Ali

Anugerah Peserta Terbaik

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.