ad

Ketagihan pornografi jejas otak, hubungan intim dan kesuburan lelaki

21 Ogos 2025, 2:00 AM
Ketagihan pornografi jejas otak, hubungan intim dan kesuburan lelaki
Ketagihan pornografi jejas otak, hubungan intim dan kesuburan lelaki

SHAH ALAM, 21 OGOS: Ketagihan menonton kandungan atau video lucah bukan sekadar isu moral. Ia boleh membawa kesan serius terhadap kesihatan lelaki daripada merosakkan fungsi otak, mengganggu ereksi, sehinggalah menjejaskan kesuburan.

Penolong Pengarah Kanan Psikologi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Ratna Safura Kamal Syahri berkata, individu yang kerap terdedah kepada rangsangan visual tidak realistik cenderung kehilangan minat terhadap hubungan intim normal bersama pasangan.

“Bila otak terlalu biasa dengan rangsangan palsu, ia jadi ‘kebas’ terhadap hubungan sebenar. Lama-kelamaan, prestasi dan kepuasan seksual merosot, memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor pada 19 Ogos lalu.

Sementara itu, pempengaruh kesihatan Muhammad Noor Zakaria menjelaskan, tabiat menonton bahan lucah secara berlebihan boleh menyebabkan Porn-Induced Erectile Dysfunction (PIED) serta menurunkan kualiti sperma.

“Onani berlebihan akibat ketagihan melemahkan kuantiti benih lelaki, sekali gus mengurangkan peluang mendapat zuriat,” katanya.

Remaja seawal 13 tahun sudah terdedah

Fenomena ini membimbangkan kerana kanak-kanak seawal sekolah rendah sudah mampu mengakses kandungan lucah melalui telefon pintar, permainan dalam talian berunsur seksual dan laman percuma.

Berdasarkan Kajian Populasi Keluarga Malaysia Ke-5 pada 2014, sebanyak 35.3 peratus remaja berusia 13 hingga 24 tahun pernah menonton kandungan lucah, kebanyakannya melalui internet.

“Dulu bahan seperti ini sukar diperoleh, tetapi sekarang hanya perlu buka dan tatal skrin. Hampir semua kanak-kanak, tanpa mengira umur, ada telefon pintar,” kata Ratna Safura.

Fantasi ekstrem ganggu kehidupan berumah tangga

Menurut Ratna Safura, ketagihan pornografi sering membawa penonton hanyut dalam fantasi ekstrem hingga minat terhadap hubungan normal lelaki dan perempuan beralih kepada kandungan melibatkan ramai individu atau pasangan sejenis.

“Akhirnya timbul keinginan untuk ‘menjadi orang lain’ atau meminta perkara di luar kebiasaan daripada pasangan kerana terpengaruh dengan apa yang ditonton,” jelasnya.

Jika dibawa ke dalam perkahwinan, tabiat ini boleh membuatkan individu tidak lagi puas dengan hubungan normal, lalu mula menuntut perkara yang pasangan sukar terima.

Otak ‘kebas’ akibat rangsangan berlebihan

Muhammad Noor menegaskan, ketagihan pornografi merosakkan sistem rangsangan dalam otak.

“Bila terlalu kerap menonton, ambang rangsangan jadi terlalu tinggi. Hubungan normal tidak lagi memberi kepuasan,” katanya.

Selain gangguan mental dan seksual, ketagihan ini juga menjejaskan kesuburan kerana onani berlebihan melemahkan kualiti serta kuantiti sperma, mengurangkan peluang pasangan mendapatkan anak.

“Pemeriksaan biasanya dimulakan dengan lelaki dahulu. Jika tiada masalah, barulah fokus kepada wanita. Kalau ada, ia perlu dirawat segera,” kata Muhammad Noor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.