ad

Pekerja gig harap wujud suruhanjaya agar kebajikan lebih terbela

12 Ogos 2025, 9:27 AM
Pekerja gig harap wujud suruhanjaya agar kebajikan lebih terbela
Pekerja gig harap wujud suruhanjaya agar kebajikan lebih terbela
Pekerja gig harap wujud suruhanjaya agar kebajikan lebih terbela
Pekerja gig harap wujud suruhanjaya agar kebajikan lebih terbela
Pekerja gig harap wujud suruhanjaya agar kebajikan lebih terbela

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pekerja industri gig berharap Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis ini, akan disusuli dengan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (Segim).

Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) Mohd Azril Ahmat berkata penubuhan Segim bakal melengkapkan lagi keseluruhan ekosistem industri gig sekali gus mengiktiraf peranan sektor itu dalam ekonomi negara.

“Harapan saya selepas selesai bacaan RUU ini, ia diluluskan dan didatangkan bersama Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia. Barulah ekosistem e-hailing itu dapat dilaksanakan secara sistematik.

“Suruhanjaya itu akan menjadi satu entiti yang tidak terikat dengan mana-mana kementerian. Harap ia dapat direalisasi segera. Dengan adanya RUU ini hala tuju e-hailing akan menjadi lebih jelas,” katanya kepada Media Selangor.

Syahrul Rahmat

Sementara itu, penghantar makanan, Syahrul Rahmat, 37, berharap kerajaan dapat menetapkan had umur bagi pekerja e-panggilan untuk mencegah sektor itu dibanjiri remaja yang berhenti sekolah awal.

Malah, katanya, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjual nombor pengenalan diri (ID) syarikat kepada warga asing sehingga menyebabkan pekerja tempatan terpaksa bersaing dengan warga asing.

“Harap kerajaan dapat tetapkan had umur untuk pekerja e-hailing. Budak muda ramai yang sertai sektor ini, sedangkan mereka tiada pengalaman. Ada juga pekerja warga asing yang masuk kerana orang tempatan jual nombor ID,” katanya.

Muhammad Hairi Abd Latif

Bagi Muhammad Hairi Abd Latif, 40, beliau mahu kerajaan menetapkan harga siling bagi menyelaras bayaran upah sekali gus mengelakkan pekerja gig ditindas syarikat swasta yang tidak bertanggungjawab.

“Kalau boleh kami mahu minta, kerajaan bantu selaraskan bayaran upah, tetapkan satu harga lantai. Sekarang ini setiap syarikat lain bayaran, ada yang mahal dan ada yang murah, perlu berbaloi,” katanya.

Nazrul Othman

Penghantar makanan, Nazrul Othman, 34, berharap RUU pekerja gig mewajibkan majikan mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan pekerja dilindungi serta memperoleh faedah buruh.

“Kadang-kadang rasa ditindas kerana hanya untungkan syarikat. Kebajikan kami pun tidak setimpal. Saya bukan harapkan bayaran tinggi tapi biarlah berpatutan.

“Untuk kebajikan, minta wajibkan Perkeso. Sekarang ini saya ada carum sendiri, tapi adakalanya tidak dapat buat kerana pendapatan bulanan tidak cukup,” katanya.

Kementerian Sumber Manusia dijangka membentangkan RUU Pekerja Gig untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Khamis ini, diikuti bacaan kali kedua dan perbahasan pada 26 Ogos ini.

RUU tersebut dijangka memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada golongan pekerja gig termasuk penghantar makanan, pemandu e-panggilan serta pekerja sambilan di pelbagai sektor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.