ad

Penuntut universiti rugi RM187,000 diperdaya sindiket dalam talian

12 Ogos 2025, 2:32 AM
Penuntut universiti rugi RM187,000 diperdaya sindiket dalam talian

KUALA TERENGGANU, 12 OGOS: Penuntut sebuah universiti awam di sini kerugian RM187,800 selepas diperdaya sindiket 'phone scam' yang menyamar sebagai wakil Touch n Go.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 4 Ogos lalu, mangsa yang berusia 26 tahun menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa beliau telah menyalah guna aplikasi berkenaan dan terlibat dalam penggubahan wang haram serta pengedaran dadah.

Beliau berkata suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuat sejumlah pembayaran melalui pindahan wang untuk tujuan siasatan dan membersihkan namanya.

"Mangsa yang panik dan takut membuat lapan kali bayaran ke enam akaun berbeza dalam tempoh 4 hingga 9 Ogos menggunakan simpanan sendiri dan wang dalam akaun ibu bapanya yang diambil tanpa pengetahuan.

"Selain itu, mangsa turut menyerahkan tiga utas gelang tangan, lima bentuk cincin dan loket milik beliau dan ibunya kepada seorang suspek wanita di tepi jalan Pantai Penarik, Setiu pada 9 Ogos lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis 9.43 malam tadi.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat mengecam dan memberikan gambaran terperinci mengenai suspek wanita yang ditemuinya kerana individu itu memakai pelitup muka.

"Saya minta orang ramai jangan mudah percaya dan menyemak terlebih dahulu talian telefon serta akaun yang digunakan suspek melalui aplikasi Semak Mule.

"Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian Nasional Scam Response Centre (NSRC) 997 untuk mendapatkan pengesahan sebelum membuat sebarang pindahan wang ke akaun pihak ketiga," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.