SHAH ALAM, 11 OGOS: Projek Rumah Selangorku dilaksana dengan memastikan penyediaan fasiliti asas yang lengkap, termasuk kemudahan pendidikan dan kesihatan bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan sekitar.
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berkata pendekatan Selangor dalam menyediakan perumahan mampu milik yang kondusif berbeza kerana perumahan mampu milik itu lazimnya dibangunkan dalam kawasan pembangunan berskala besar.
“Rumah Selangorku ini, biasanya sebahagian daripada projek perumahan besar. Contohnya, kalau projek itu 300 ekar, jadi Rumah Selangorku ini sebahagian daripadanya, contohnya hanya ambil kira-kira 10 ekar.
“Tetapi dalam pelan keseluruhan pembangunan itu memang sudah ada kemudahan atau kawasan untuk sekolah, tadika, klinik dan kemudahan lain bagi memastikan keselesaan serta kesejahteraan penduduk,” kata Dato’ TPr Dr Juhari Ahmad kepada Media Selangor.
Beliau mengulas teguran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung projek perumahan rakyat berskala besar yang tidak menghayati konsep Madani dan menegaskan keperluan prasarana asas seperti sekolah, tadika dan kemudahan kesihatan perlu dijadikan syarat kelulusan projek sedemikian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) berkata, setiap projek perumahan mampu milik oleh agensi itu dirancang secara menyeluruh, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan bagi memastikan kemudahan asas seperti sekolah, klinik dan infrastruktur sokongan dimasukkan sejak peringkat awal perancangan.
Jelas Edi Zuhri Abdul Rahim, KHSB sentiasa mengambil pendekatan seimbang antara keperluan komersial dan tanggungjawab sosial, dengan setiap projek menggabungkan elemen perumahan mampu milik dengan komponen komersial secara strategik bagi menjamin daya maju kewangan jangka panjang tanpa menjejaskan matlamat sosial.
“Contohnya, rumah mampu milik yang dibangunkan KHSB menepati garis panduan harga ditetapkan Kerajaan Negeri, sekitar RM60,000 hingga RM250,000, bergantung kepada lokasi dan jenis unit.
“Kami juga memastikan unit ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti dewan komuniti, taman rekreasi, tadika dan surau, bagi menjamin kualiti hidup penduduk,” katanya.
Menurutnya, selaras prinsip Madani, KHSB bukan hanya fokus untuk membina rumah, tetapi membina komuniti sejahtera lengkap dengan kemudahan, akses mudah dan persekitaran inklusif.
“Ini termasuk kajian impak sosial awal dan pematuhan kepada dasar perancangan negeri Selangor bagi memastikan rumah mampu milik KHSB bukan sekadar mampu dimiliki, tapi juga selesa untuk didiami,” katanya.
End.