Bekas wartawan belanja RM7,000 setahun beli 10 akhbar, pertahan nilai kewartawanan cetak

10 Ogos 2025, 12:00 PM
Bekas wartawan belanja RM7,000 setahun beli 10 akhbar, pertahan nilai kewartawanan cetak

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Dalam era ketika hampir semua orang membaca tajuk berita di media sosial, bekas wartawan dan editor Dr G. Manimaran masih membelek muka surat bercetak - bukan satu tetapi 10 akhbar- setiap hari.

Sejak 30 tahun lalu, perunding media dan penganalisis politik berusia 58 tahun ini menghabiskan kira-kira RM7,000 setahun untuk membeli akhbar - satu tabiat yang mungkin dianggap berlebihan di era digital ini. Akan tetapi bagi beliau, jumlah itu setimpal dengan ilmu yang diperoleh.

“Saya tidak anggap itu pembaziran wang. Ada yang kata kita boleh baca berita dalam talian secara percuma, tetapi tidak semua berita tersedia di portal berita. Banyak pandangan, terutamanya laporan terperinci atau arkib, sebaiknya dibaca dalam bentuk bercetak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Bekas wartawan dan editor Dr G. Manimaran menunjukkan keratan akhbar artikel yang pernah ditulisnya ketika menjadi wartawan di Utusan Malaysia, semasa ditemubual Bernama di kediamannya di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi baru-baru ini. Foto BERNAMA

Membesar di Paloh, sebuah pekan kecil di Kluang, Johor, kecintaan Manimaran terhadap ilmu bermula awal. Ketika bersekolah rendah, beliau akan menyimpan duit sakunya untuk membeli akhbar yang ketika itu berharga 50 sen, satu jumlah yang besar buat seorang kanak-kanak.

“Semasa saya bekerja sebagai wartawan dan editor, saya akan baca sekurang-kurangnya enam surat khabar setiap hari bagi mengikuti perkembangan semasa dan juga kerana sifat persaingan dalam dunia kewartawanan,” katanya.

Pada masa ini beliau melanggan 10 akhbar harian berbahasa Melayu, Inggeris dan Tamil dengan kos kira-kira RM600 sebulan, dan akan menambah akhbar berbahasa Cina (bagi tujuan pengarkiban kerana beliau tidak tahu membaca bahasa Mandarin) semasa peristiwa besar negara seperti pilihan raya umum atau pengumuman belanjawan.

Bagi beliau, akhbar bukan sekadar bahan bacaan, tetapi sebagai sebahagian identiti dan alat kerjayanya. Di rumahnya ada perpustakaan peribadi dipenuhi keratan akhbar, laporan pilihan raya dan buku. Malah, beliau akan baca setiap akhbar yang tidak sempat dibacanya sebaik sahaja pulang dari bercuti.

“Saya gunting dan simpan keratan berita penting, terutamanya tentang politik dan dasar. Apabila saya perlu membuat rujukan, saya tidak perlu cari dalam talian. Tabiat ini amat membantu saya semasa menulis dan membuat analisis,” jelasnya.

Manimaran telah menulis tiga buah buku termasuk yang ditulis bersama dengan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bertajuk “Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir”, yang disiapkan hanya dalam tempoh tiga bulan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bekas wartawan dan editor Dr G. Manimaran ditemubual Bernama di kediamannya di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi baru-baru ini. Foto BERNAMA

Tiga buah buku lagi dijangka diterbitkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Kecintaan beliau terhadap laporan berita terbentuk semasa zaman remajanya, menonton wayang pacak - tayangan di tempat terbuka oleh Jabatan Penerangan pada 1970-an dan 80-an bagi menghibur dan menyebar maklumat kepada masyarakat luar bandar.

Pendedahan awal itu berserta rasa ingin tahu tentang isu semasa mendorong beliau memburu ijazah Komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia, menjalani latihan industri di Bernama dan bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia pada 1991.

“Amalan membaca, menyimpan dan menganalisis berita selama bertahun-tahun membentuk haluan saya untuk menjadi perunding media dan penganalisis,” tambahnya.

Mengakui cabaran yang dihadapi oleh media cetak sekarang, Manimaran bagaimanapun kekal optimis - asalkan industri itu melakukan penyesuaian semula.

“Peranan akhbar pada hari ini bukan lagi untuk menyampaikan berita terkini kerana orang ramai sudah dapat membacanya dalam talian. Yang diperlukan ialah kandungan bernilai tambah, analisis mendalam dan laporan eksklusif,” katanya, menyamakan bagaimana kedai kopitiam tradisional menggemblengkan elemen lama dan baharu untuk terus bertahan.

“Mungkin satu hari nanti kita akan baca berita di jam tangan pintar atau akhbar dicetak dalam format A4 seperti yang saya lihat di Kemboja pada 2006. Namun, perkara terasnya ialah kewartawanan berwibawa harus dipertahankan,” katanya.

Sekalipun koleksi keratan akhbarnya belum lagi didigitalkan sepenuhnya, beliau telahpun “menurunkan” tabiatnya kepada anak perempuan beliau yang berusia 10 tahun, menggalakkan si kecil itu agar gemar membaca.