Isu subsidi RON95: SKMM siasat kenyataan penafian Muhyiddin

6 Ogos 2025, 2:11 PM
Isu subsidi RON95: SKMM siasat kenyataan penafian Muhyiddin

SHAH ALAM, 6 OGOS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan berhubung kenyataan penafian Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin terkait dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Dalam kenyataan hari ini, agensi itu memaklumkan siasatan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“SKMM mengambil maklum kenyataan media Pejabat Perdana Menteri supaya siasatan dijalankan berhubung satu dakwaan yang telah dinafikan Ahli Parlimen Pagoh.

“SKMM mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan platform media sosial bagi menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih,” menurut agensi itu.

Anwar dalam sidang Dewan Rakyat semalam berkata beliau menerima laporan mendakwa seorang wakil rakyat pembangkang mempertahankan hak warga asing untuk turut menikmati subsidi bahan api berkenaan.

Susulan itu, Muhyiddin dalam kenyataan di media sosial menafikan beliau mengeluarkan sebarang kenyataan yang membawa maksud berkenaan, selain menegaskan pendirian Perikatan Nasional (PN) sentiasa konsisten dalam isu subsidi.

“PN sejak dahulu lagi berpandangan bahawa manfaat pelaksanaan subsidi harus diberikan keutamaan terhadap kepentingan rakyat,” katanya.