SHAH ALAM, 6 OGOS: Selangor menjadi negeri pertama di Asia Tenggara dipilih oleh Topcon Positioning Asia (Malaysia) Sdn Bhd untuk membuka pusat latihan berteknologi pintar.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata Pusat Latihan Topcon Malaysia (TMTC) yang bakal beroperasi dalam masa terdekat itu sejajar dengan dasar Kerajaan Negeri yang menekankan pembangunan modal insan berasaskan teknologi.
“Topcon membuka pusat latihannya yang keempat di dunia di Selangor, selepas Amerika Syarikat, Itali dan Jepun. Pemilihan ini menunjukkan keyakinan syarikat terhadap potensi negeri ini sebagai hab latihan antarabangsa.
“Pusat latihan ini turut meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di Selangor. Ia membuktikan pelaburan berterusan dalam negeri,” katanya selepas merasmikan pusat tersebut di Glenmarie, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Topcon Corporation, Takashi Eto berkata penubuhan pusat latihan itu bakal membuka lembaran baharu dalam sektor pembinaan, termasuk projek pembinaan lebuh raya.
“Kami mahu peserta bukan sahaja menguasai teknologi terkini secara praktikal, tetapi turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan ekonomi.
“Kami juga menjangkakan pusat ini akan menjadi hab pembangunan kompetensi digital yang penting dalam meningkatkan produktiviti, ketepatan dan kemampanan dalam proses kerja pembinaan,” katanya.


