PETALING JAYA, 6 OGOS: Rundingan peringkat akhir berhubung pelaksanaan sistem Parkir Pintar Selangor atau Selangor Intelligent Parking (SIP) di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih berjalan.
Datuk Bandar Mohamad Zahri Samingon berkata MBPJ bersetuju dengan usul Kerajaan Negeri, namun beberapa perkara termasuk hasil, keuntungan dan penugasan anggota penguat kuasa masih dalam perbincangan akhir sebelum dimuktamadkan dalam terma perjanjian.
“Kita bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang mengusulkan supaya empat pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat SIP, cuma kita perlu perhalusi lagi (beberapa perkara) untuk dimasukkan dalam perjanjian dan dimuktamadkan.
“Masih ada beberapa perkara lagi tentang keuntungan, anggota penguat kuasa yang dipinjam, semua itu masih dalam perbincangan akhir.
“Kita juga ada buat libat urus dengan pihak negeri menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan EXCO Kerajaan Tempatan (Dato’ Ng Suee Lim),” katanya pada sidang media peluncuran Placemaker Week Asean (PWA) 2025 hari ini.

Bermula 1 Ogos lalu, SIP dilaksana secara berfasa melibatkan tiga PBT iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) manakala rundingan masih berjalan dengan MBPJ.
Menurut Suee Lim, SIP akan dikendalikan bersama oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd, sebuah anak syarikat MBI Selangor bersama sebuah syarikat konsesi dan PBT.
Jelas Suee Lim, SIP bukan hanya akan menambah baik sistem parkir PBT tetapi sekali gus antara tunjang utama konsep bandar pintar di Selangor dan selaras dengan inisiatif Smart Selangor.