ad

Sistem parkir pintar Selangor: Apa isunya, kenapa dan bagaimana?

6 Ogos 2025, 1:00 AM
Sistem parkir pintar Selangor: Apa isunya, kenapa dan bagaimana?
Sistem parkir pintar Selangor: Apa isunya, kenapa dan bagaimana?

Bermula 1 Ogos 2025, kerajaan Selangor melaksanakan secara berfasa sistem Parkir Pintar Selangor atau Selangor Intelligent Parking (SIP) di tiga daerah pentadbiran pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Bagaimanapun rundingan masih berjalan dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Langkah ini mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat, daripada soal ketelusan pelaksanaan dan kesannya kepada pengguna sampailah kepada perkongsian hasil kutipan bayaran parkir dan kesannya kepada PBT.

Media Selangor merangkumkan beberapa perkara yang berbangkit untuk menjelaskan isu-isu berkaitan SIP serta perkembangan pelaksanaannya hasil semakan wartawan SOFIA NASIR.

1. Apa isunya?

SIP diperkenalkan untuk menutup ketirisan hasil yang sepatutnya dapat dikutip daripada pengguna, sekali gus akan meningkatkan pematuhan pengguna. Ia dilaksanakan di PBT yang berkenaan pada masa ini kerana kontrak pengendalian tempat letak kereta di kawasan itu tamat 31 Julai lalu.

Kerajaan Selangor menganggarkan sistem parkir sedia ada hanya mengutip lebih kurang 30 peratus sahaja daripada caj keseluruhan.

2. Siapa pengendali SIP?

SIP akan dikendalikan bersama oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersama sebuah syarikat konsesi dan PBT, kata Exco Kerajaan Tempatan & Pelancongan, Ng Suee Lim.

Katanya, PBT akan mengekalkan kuasa penuh penguatkuasaan sementara Rantaian Mesra menyelaraskan sistem dan syarikat konsesi yang bakal dilantik akan mengendalikan operasi harian.

Syarikat konsesi itu juga akan melabur RM200 juta untuk pembangunan infrastruktur SIP termasuk pemasangan kira-kira 1,800 unit kamera litar tertutup (CCTV) serta tambahan penguat kuasa bagi meningkatkan kadar pematuhan.

Pada 1 Ogos 2025, ITMAX Sdn Bhd memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa anak syarikatnya Selmax Sdn Bhd dilantik oleh MBSJ untuk mengendalikan SIP di kawasannya bagi tempoh 10 tahun dengan pilihan lanjutan kontrak lima tahun.

3. Bagaimana SIP bantu selesai isu parkir?

SIP bukan hanya akan menambah baik sistem parkir PBT tetapi sekali gus antara tunjang utama konsep bandar pintar di Selangor dan selaras dengan inisiatif Smart Selangor, jelas Ng.

Smart Selangor adalah insiatif Kerajaan Selangor untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, perniagaan dan sektor awam melalui penggunaan teknologi digital serta memanfaatkan kelebihan data raya.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim menjawab soalan media ketika sidang media mengenai konsesi Sistem Parkir Pintar atau Smart Intelligent Parking (SIP) fasa pertama di Wisma Dewan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Ng juga berharap SIP akan menjadi contoh sistem pengurusan parkir moden, dengan kawalan CCTV dan pusat kawalan yang memantau operasi secara langsung.

Selain SIP, infrastruktur SIP juga akan menggunakan teknologi pintar yang dilengkapi Internet untuk segala (IoT), kamera CCTV dan AI untuk mengesan parkir haram, pelanggaran peraturan dan pemantauan keselamatan.

“Usaha ini dijangka dapat membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan bandar,” kata Ng.

SIP juga akan memperkasa pasukan penguat kuasa PBT melalui kenderaan rondaan lengkap dengan sensor pintar dan peralatan mudah alih.

4. Apa fokus utama SIP?

SIP bertujuan meningkatkan pematuhan bayaran parkir, kata Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Sebelum ini hasil parkir yang dapat dikutip hanya 30 peratus, maknanya ada 70 peratus yang tidak dapat dikutip. Kita perlu pertingkatkan dengan teknologi,” katanya.

SIP juga akan memusatkan pengurusan parkir secara digital dan bersepadu. Selepas pelaksanaannya nanti, setiap PBT yang terlibat akan mengguna pakai sistem yang sama sekali gus menyeragamkan kadar, waktu operasi dan kaedah serta platform pembayaran.

SIP akan mengurangkan kos operasi jangka panjang PBT apabila ia tidak lagi menanggung kos langsung operasi harian tempat parkir.

5. Apa reaksi PBT terlibat?

Semua empat PBT pada dasarnya bersetuju dengan keputusan Kerajaan Selangor namun MBPJ membangkitkan persoalan terutamanya mengenai agihan hasil.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Zahri Samingon berkata peralihan sistem itu tidak mengganggu keadaan tempat letak kenderaan sedia ada di kawasan pentadbiran MBPJ.

“Salah satu syarat kita ialah hasil mestilah sama atau lebih tinggi daripada apa yang kita dapat sekarang,” katanya.

Beliau juga membangkitkan persoalan mengenai asas penurunan kuasa penguatkuasaan dan tempoh perwakilan di bawah sistem baharu nanti.

Zahri juga memberitahu pihaknya sudah beberapa kali bertemu dengan MBI untuk perbincangan dan penjelasan lanjut.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga mengesahkan hanya MBPJ yang membangkitkan bantahan dan perkara itu sedang dalam rundingan.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya menyuarakan sokongan kepada SIP walaupun bukan antara PBT yang terlibat dengan pelan pelaksanaannya buat masa ini, lapor The Star.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata pihaknya sudah memulakan rundingan dan perbincangan dengan Kerajaan Negeri kerana melihat potensi untuknya meningkatkan kecekapan operasi dan hasil.

6. Apa reaksi masyarakat?

Empat Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang juga wakil rakyat kawasan terlibat iaitu Lee Chean Chung (Petaling Jaya), William Leong (Selayang), Azli Yusof (Shah Alam) dan Wong Chen (Subang) menyuarakan bantahan mereka secara terbuka. Dalam satu kenyataan bersama mereka menggesa agar pelaksanaan SIP ditangguhkan.

Mereka juga meminta semua terma dan syarat skim SIP didedahkan kepada umum, khususnya pecahan keuntungan antara pihak terlibat. Mereka turut meminta Kerajaan Selangor menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas dwipartisan bagi menyemak cadangan pelaksanaan SIP secara menyeluruh.

Sementara itu, Pengerusi MCA Selangor, Datuk Ir. Lawrence Loh meminta Kerajaan Selangor memastikan kepentingan PBT dan masyarakat terpelihara. Beliau berpendapat cadangan pelaksanaan SIP bukan penyelesaian tepat kepada masalah kutipan parkir yang rendah. Katanya, isu itu boleh diselesaikan dengan menambah baik aplikasi bayaran parkir dan memperkukuh penguatkuasaan.

Sekurang-kurangnya dua persatuan penduduk iaitu PJ Sejahtera dan Persatuan Petaling Jaya Lestari menggesa Kerajaan Selangor mempertimbangkan semula pelaksanaan SIP.

7. Apa kata Kerajaan Negeri?

Pelaksanaan SIP tidak dibuat secara rundingan terus sebaliknya melalui proses tender terbuka yang telus dan kompetitif, tegas Dato’ Menteri Besar Selangor.

Tender terbuka itu juga dibuat selepas MBI memulakan proses dengan mengeluarkan permintaan untuk cadangan (RFP). Semakan menunjukkan RFP dikeluarkan antara 8 hingga 22 Januari 2025.

“MBI telah mengeluarkan RFP dan 26 syarikat menyatakan minat dalam sektor ini. Akhirnya, tiga syarikat disenarai pendek,” kata Ng.

8. Apa akan berlaku dengan pelaksanaan SIP?

Sistem SIP diuruskan oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd sebagai anak syarikat MBI. Operasi penguatkuasaan dan penyelenggaraan tapak letak kereta pula akan diuruskan oleh pihak swasta melalui syarikat konsensi yang dipilih. Bagaimanapun, kuasa dan dasar penguatkuasaan masih berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Tiada kenaikan kadar parkir diumumkan. Kerajaan Negeri mengekalkan kadar caj antara 40 hingga 60 sen sejam buat masa ini. Menurut Ng, sebarang kenaikan caj pada masa hadapan perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.