SHAH ALAM, 5 OGOS: Empat jenis sukan tambahan iaitu e-sukan, kriket, catur dan kabaddi bakal dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA hari ini menetapkan penambahan dua sukan wajib iaitu tinju dan sofbol, membawa 30 sukan wajib yang dipertandingkan pada temasya kali ini.
Menurutnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan 34 sukan yang akan dipertandingkan pada temasya dwi-tahunan bermula di Selangor selaku tuan rumah mulai tahun hadapan.
“Mesyuarat turut meluluskan penyertaan rasmi kontinjen negara Brunei Darussalam dalam SUKMA 2026. Jenis dan jumlah sukan yang disertai akan ditentukan Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA dalam masa terdekat.

“Mesyuarat EXCO Sukan Negeri-Negeri yang diadakan sebelum mesyuarat hari ini juga memutuskan penyertaan kontinjen negeri ke temasya para Sukma mulai edisi tahun depan di Selangor akan melalui Majlis Sukan Negeri bukan lagi Jabatan Belia dan Sukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat.
Ditanya mengenai ketiadaan pickleball sebagai acara dipertandingkan, Hannah memberitahu sukan tersebut baharu digazetkan yang memerlukan pelaburan besar dengan sokongan sekurang-kurangnya enam negeri mengikut peraturan SUKMA.
“Walaupun tidak memasuki SUKMA, tetapi kita menganjurkan pertandingan dalam kejohanan masters terutama di peringkat sekolah bermula tahun lepas,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hannah turut berpuas hati dengan persiapan rapi yang dilakukan Selangor kini mencapai tahap 50 peratus secara keseluruhan.
“Saya percaya penganjuran SUKMA di Selangor akan menjadi inklusif dengan venue sedia ada, acara pembukaan di tempat baharu dan penglibatan lebih ramai atlet wanita,” katanya.