ad

Kayuhan demi gaya hidup sihat dan selamat

16 Ogos 2025, 7:00 AM
Kayuhan demi gaya hidup sihat dan selamat

Berbanding sukan lain dan di sebalik kontroversi "kemarahan pengguna jalan raya" terhadap komuniti basikal, sukan berkenaan terus kekal diminati sebagai wadah untuk peminatnya mempromosikan gaya hidup sihat serta menyeronokkan.

Ia terserlah apabila pada setiap hujung minggu, kumpulan peminat sukan berbasikal ini memerah keringat, bermandi peluh dan meredah sinar matahari pagi untuk menghabiskan kayuhan demi kesihatan dan hobi.

Berbasikal, yang dahulunya sinonim dengan kampung dan aktiviti santai waktu petang, kini menjadi simbol gaya hidup sihat dan mesra alam, tidak kira  umur atau latar belakang.

Akui peminat basikal ini, sukan tersebut bagus untuk jantung, kuatkan otot, bakar kalori, dan bantu kawal berat badan. Selebihnya, ia juga membantu kurangkan stres dan menjadikan seseorang itu lebih tenang.

Tinjauan jurufoto Media Selangor AHMAD ZAKKI JILAN dan NUR ADIBAH AHMAD IZAM turun padang di sekitar pusat rekreasi dan beberapa taman riadah mendapati, cabaran kepada peminat basikal ini bukan sahaja cuaca panas dan hujan tetapi juga tiada laluan yang sesuai dan selamat di jalan raya untuk mereka berbanding pemandu kenderaan lain.

Namun, tinjauan juga mendapati, sebilangan besar peminat sukan ini, membuat pemeriksaan secara berkala basikal masing-masing sebelum berkayuh di jalan raya dan taman-taman rekreasi. Jika berada di dalam kumpulan pula, mereka berkayuh dalam satu barisan selain menggunakan laluan paling kiri bagi tujuan keselamatan. 

Pendek kata, mereka bukan sahaja mahu sihat, pada masa sama ingin selamat daripada kejadian tidak diingini.

Peminat basikal berkayuh santai sambil menghirup udara segar di Putrajaya pada 2 Ogos 2025.

Peminat sukan berbasikal menggunakan laluan khas bagi memastikan keselamatan ketika tinjauan Media Selangor pada 26 Julai 2025.

Penunggang basikal beriadah bagi memastikan tubuh badan sentiasa sihat di sekitar Putrajaya sambil menghirup udara segar dan menikmati pemandangan indah kawasan sekitar.

Sukan berbasikal menuntut kekuatan fizikal dan mental, khususnya ketika mendaki dan berkayuh di bawah terik matahari.

Dhia Daniall Mohd Khairi (tengah) berbual santai bersama pelanggannya selepas berkayuh sejauh 100 kilometer di Kedainya K Pro Cycle, Kajang pada 20 Julai 2025.

Orang ramai beriadah bersama keluarga pada cuti hujung minggu di TREX Bike Park, Eco Grandeur, Puncak Alam pada 9 Ogos 2025.

Aktiviti berbasikal semakin diminati pelbagai lapisan masyarakat kerana bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan, malah menjadi medium riadah yang mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga dan rakan.

Atlet sukan berbasikal menjalani latihan secara konsisten bagi memastikan tahap kecergasan sentiasa berada pada tahap optimum sebagai persediaan menghadapi pelbagai kejohanan.

Cuaca panas tidak menghalang peminat sukan berbasikal daripada melakukan aktiviti pada hari cuti di Hulu Langat, malah ia menjadi cabaran tersendiri yang menguji ketahanan fizikal dan mental mereka.

Tekanan tayar diperiksa sebelum memulakan aktiviti berbasikal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini di Alam Damai, Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2025.

Sebuah kedai di Batu 18, Hulu Langat menyediakan tempat letak basikal khas bagi kemudahan peminat sukan berbasikal yang singgah di premis tersebut sekali gus memberi keselesaan kepada pelanggan yang berehat selepas berkayuh.

Peminat sukan berbasikal berehat sambil berbual santai selepas menamatkan kayuhan di Pekan Batu 18, Hulu Langat pada 26 Julai 2025, sekali gus mengeratkan hubungan sesama rakan kayuhan

Dhia Daniall Mohd Khairi membuat pemeriksaan berkala bagi memastikan basikal pelanggannya berada dalam keadaan baik sebelum memulakan kayuhan jarak jauh di Kedainya K Pro Cycle, Kajang pada 20 Julai 2025.


Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.