Betulkah jika suis mesin penapis air dimatikan dari jam 11 malam hingga 12 tengah hari setiap hari membantu penjimatan sehingga RM100 sebulan seperti yang tular baru-baru ini?
Jawapannya, tidak benar.
Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia Profesor Ir Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir menjelaskan langkah itu boleh menjimatkan tenaga, tetapi jumlahnya tidak begitu besar.

Walaupun peralatan itu antara perkakas elektrik menggunakan tenaga tinggi, purata penggunaannya hanya sekitar RM7 hingga RM20 sebulan, bergantung pada model dan tabiat pemakaian.
“Ada yang anggap amalan itu boleh mengurangkan bil elektrik, tapi hakikatnya tidaklah sampai RM100.
"Kalau nak betul-betul jimat, harus ubah corak penggunaan elektrik terutama waktu kita guna peralatan berat di rumah," katanya kepada Media Selangor.
Peralatan elektrik seperti penyaman udara dan peti sejuk sebenarnya menggunakan tenaga lebih tinggi dan jika tidak digunakan dengan betul, boleh ‘mengoyakkan’ poket setiap bulan.
Justeru, amalan-amalan mudah seperti mematikan suis peralatan elektrik apabila tidak digunakan, menggunakan lampu LED cekap tenaga dan menetapkan suhu penghawa dingin sekitar 24–26°C boleh memberikan penjimatan besar.
"Untuk tempoh jangka panjang, ini memberi kesan positif kepada alam sekitar, mengurangkan pemanasan global dan menyokong usaha menangani perubahan iklim," katanya.
Sedar atau tidak, makin lama barangan elektrik, makin tinggi bilnya. Teori itu disokong Dr Mohd Zainal kerana teknologi peralatan tersebut tidak secekap model baharu.
Contohnya, peti sejuk lama boleh guna dua kali ganda elektrik berbanding model baharu yang ada label Suruhanjaya Tenaga (ST)-Sirim dengan penarafan cekap tenaga lima bintang.
"Jadi nak jimat elektrik dan pastikan peralatan tahan lama, pasang penstabil voltan untuk peti sejuk dan mesin basuh.
"Elakkan guna soket bertindan, bersihkan penapis penyaman udara setiap dua bulan dan buat penyelenggaraan berkala," katanya.
Beliau juga memaklumkan faktor cuaca panas ketika ini turut mempengaruhi peningkatan bil elektrik.
Keadaan ini menyebabkan penyaman udara bekerja lebih kuat dan lama untuk menyejukkan ruang. Begitu juga peti ais dan mesin penapis air kerana perlu mengekalkan suhu.
Kesannya, bil elektrik boleh naik antara 10 hingga 30 peratus atau lebih jika mengambil kira tarif baharu elektrik yang berkuat kuasa 1 Julai.
Namun, kenaikan itu boleh ditangani dengan beralih kepada sistem solar. Walaupun kos pemasangan awal agak tinggi, ia pilihan berbaloi bagi isi rumah dengan bil elektrik melebihi RM250 sebulan.
Dr Mohd Zainal turut menasihati orang ramai supaya jangan mudah percaya segala petua yang tular di media sosial.
Tidak semua betul. Sebaik-baiknya, dapatkan pandangan pakar sebelum ikut sesuatu amalan terutama melibatkan tenaga dan keselamatan elektrik.