SHAH ALAM, 4 OGOS: Pengukuhan industri dan pelaburan bagi memangkin pertumbuhan ekonomi Selangor antara agenda utama dibincang bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan lebih tiga jam itu menyentuh pengisian strategik dalam Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13) dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) seperti pembinaan kawasan industri baharu dan pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey.
Mempengerusikan jawatankuasa penyelarasan industri (JBI) Selangor 2025 bersama Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, beliau berkata perbincangan enam kertas kerja itu turut menyentuh aspek urus tadbir seperti kelulusan yang cepat, pantas dan cekap.
“Selangor perlu mengekalkan konsistensi, kemampanan dan kemampuan penghasilan pelaburan yang sekali gus membantu ekonomi Malaysia dan prestasi pelaburan.
“Kita juga bertanggungjawab mengurangkan jurang import dan eksport. Kita berusaha ke arah yang terbaik. Walaupun Selangor negeri pelaburan, kita masih tinggi dari segi import dan ini perlu dibincangkan dengan MITI,” katanya pada sidang media.
Amirudin menjelaskan tiga kertas perbincangan yang dibawa pihaknya merangkumi beberapa projek pembangunan antaranya taman industri, pembinaan projek sisa kepada tenaga (WTE) dan Taman Aero Selangor.
“Di peringkat MITI ada kertas berkenaan pembangunan menyeluruh unsur nadir bumi (REE) dan mekanisasi robotik dalam pengurusan pembersihan,” katanya.
Sementara itu, Zafrul berkata sektor perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri di Selangor berperanan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.
“Selangor sumbang lebih 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sama juga dari segi perdagangan pun nombor satu dalam negara,” katanya.
Awal bulan lalu, laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Selangor terus kukuh sebagai hab perindustrian dan perkhidmatan utama negara, dengan mencatat 6.3 peratus pertumbuhan KDNK tahun lalu.
Menurut laporan berkenaan, negeri ini merekodkan KDNK berjumlah RM432.1 bilion pada tahun lalu dan menyumbang 26.2 peratus kepada KDNK nasional.
DOSM turut melaporkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.1 peratus pada tahun lalu, meningkat daripada 3.5 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai ditambah berjumlah RM1.65 trilion.