Oleh Ufairah Tarmidzi
SUBANG JAYA, 2 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan merasmikan Makmal Kateterisasi Jantung Dato’ Dr Anuar Masduki di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) sempena ulang tahun ke-40 penubuhan pusat perubatan berkenaan.
Keberangkatan tiba baginda sekitar jam 10.30 pagi tadi diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah.
Makmal kateterisasi berteknologi tinggi bernilai RM14 juta itu mula dibangunkan pada Mei lalu dan dijangka menjadi penanda aras baharu dalam bidang kardiologi, khususnya dari segi rawatan dan penjagaan pesakit jantung.
Ketua Pegawai Eksekutif SJMC Bryan Lin berkata pembukaan makmal itu mencerminkan komitmen berterusan hospital tersebut dalam menyediakan rawatan bertaraf antarabangsa kepada rakyat Malaysia.
Pada masa sama, katanya, pembinaan makmal berkenaan juga sebagai menghargai sumbangan besar Allahyarham Dato’ Dr Anuar Masduki dalam membangunkan bidang kardiologi di negara ini.
“Majlis ini sebagai tanda penghormatan kepada Dato’ Dr Anuar Masduki sebagai pelopor kepada reputasi cemerlang SJMC dalam bidang rawatan jantung.
“Warisannya diteruskan melalui ramai doktor yang telah beliau bimbing dan pesakit yang kehidupannya berubah hasil rawatannya,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Allahyarham Dr Anuar yang merupakan pakar kardiologi peribadi kepada Sultan Selangor, menghembuskan nafas terakhir pada 2 Mac lalu di sisi keluarga ketika berusia 79 tahun.
Beliau meninggalkan seorang isteri, Datin Rohana Maimunah Tun Ahmad Zaidi serta dua orang anak, Dr Ainur Rahman dan Norma Syaneda.






