SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan Selangor akan meningkatkan had pendapatan isi rumah yang layak untuk menerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan bagi membantu rakyat yang memerlukan bermula September ini.
Dato Menteri Besar memberitahu peluasan manfaat RM13 sebulan bagi setiap akaun itu diikhtiarkan susulan kenaikan tarif air yang telah diluluskan oleh Putrajaya bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, minggu lalu.
“Untuk memberikan tempoh persediaan yang sewajarnya bagi semua pengguna, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju bahawa kadar ini akan berkuatkuasa mulai 1 September 2025,” kata Dato' Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan petang ini.
Menurutnya warga Selangor yang berpendapatan RM6,000 sebulan dan memerlukan bantuan air percuma, boleh melayari laman web Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd atau Air Selangor (https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/) untuk maklumat lanjut dan pendaftaran mulai 8 Ogos ini.
Sementara itu, lebih 1.3 juta rakyat Selangor penerima manfaat SADE sedia ada akan terus menikmati bantuan air percuma pada nilai yang sama seperti sekarang.
Dalam pada itu, Kerajaan Selangor juga akan menampung peningkatan caj bekalan air di semua rumah ibadat dan institusi kebajikan di seluruh negeri dengan anggaran kos RM100,000 setahun.
“Kerajaan Negeri akan menanggung kos sebanyak anggaran sehingga RM52.7 juta bagi memastikan usaha untuk mengukuhkan perkhidmatan air tidak meningkatkan kos sara hidup rakyat yang memerlukan,” katanya.
Kenaikan tarif air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara selaku agensi kawal selia di peringkat Persekutuan sementara bekalan air di Selangor disediakan oleh Air Selangor yang juga membekalkan air untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.


