SHAH ALAM, 1 OGOS: Bagi memastikan kos operasi tidak meningkat dengan mendadak, pengguna bukan domestik air dikenakan kadar caj sama seperti pengguna domestik.
Dato' Menteri Besar Dato' Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri komited untuk mencapai keseimbangan di antara perusahaan komersial dan pengguna domestik.
"Oleh yang demikian, ruang komersial serta bangunan bukan domestik akan melihat peralihan kadar caj pada kadar yang sama dengan pengguna domestik melebihi 35/meter padu, iaitu RM3.51/meter padu, peningkatan sebanyak 57 sen bagi setiap meter padu.
"Penggunaan melebihi 35 meter padu pula akan ditetapkan caj sebanyak RM3.83/setiap meter padu melebihi 35 meter padu." katanya menerusi kenyataan.
Bagi rumah ibadat dan institusi kebajikan yang sah pula, menurut beliau, kategori itu masih menikmati kadar caj paling rendah dengan peningkatan 10 sen/meter padu kepada 76 sen/meter padu.
"Ia agar operasi rumah ibadat serta institusi kebajikan tidak terkesan secara keterlaluan," katanya.
Tambah Amirudin, caj sektor perkapalan pula akan beralih 93 sen/meter padu kepada RM8.01 bagi setiap meter padu mengambil kira penggunaan air yang meningkat dalam industri berkenaan.
Manakala kategori baharu iaitu pusat data, Kerajaan Negeri menerima keputusan Jemaah Menteri untuk pengenaan kadar RM5.31/setiap meter padu, jelas beliau.
"Meskipun pelaburan pusat-pusat data memainkan peranan penting dalam ekosistem penyimpanan, pemprosesan, dan pengurusan data bagi menyokong bidang teknologi maklumat.
"Kerajaan juga menyedari pusat-pusat data menggunakan kadar air yang mampu mencecah berjuta liter sehari untuk tujuan penyejukan sistem operasi," katanya.