OLEH SITI ROHAIZAH ZAINAL
KLANG, 1 OGOS: Pembinaan asrama pekerja berpusat (CLQ) sekitar Meru yang dijangka siap menjelang 2028 disifatkan langkah tepat dalam memastikan penempatan pekerja asing lebih teratur.
Wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid berkata tiba masanya golongan tersebut ditempatkan dalam asrama dilengkapi kemudahan supaya tidak mengganggu kedudukan sosial masyarakat tempatan.
Malah, beliau berpendapat usaha Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dapat mengawal pergerakan pekerja asing dan memudahkan mereka beraktiviti sekitar kawasan asrama sahaja.
"Saya menyambut baik inisiatif ini dan melihat sendiri model asrama (itu). Ia sangat komprehensif dan dilengkapi (pelbagai) fasiliti," katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, kewujudan asrama berkenaan memudahkan penguatkuasaan daripada aspek kebersihan, termasuk perniagaan tanpa lesen yang dijalankan warga asing.
Mariam turut berharap pihak bertanggungjawab terutamanya MBDK meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa selepas penempatan asrama berkenaan siap dalam tempoh yang dirancang.
"Sudah pasti asrama ini ada pengurusan dan penjagaannya tetapi pada masa sama MBDK perlu ada pemantauan berterusan supaya mereka tidak melakukan aktiviti sesuka hati," tegasnya.
CLQ, antara kemudahan yang perlu disediakan majikan bagi menempatkan pekerja secara berkelompok dalam satu kawasan atau bangunan khas, dengan penyediaan pelbagai kemudahan asas.
Sebanyak 10 kawasan dikenal pasti di Klang, dengan sasaran pembinaan asrama bertingkat itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. CLQ berkenaan bakal menempatkan 28,597 pekerja asing.
Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata pembinaan asrama pekerja asing sekitar Klang bakal menjadi tumpuan, berikutan pembangunan pesat industri kawasan tersebut.
Selain mengatasi isu penempatan pekerja asing, jelasnya, CLQ juga bakal memenuhi penarafan piawaian dunia daripada aspek kemanusiaan dan keselesaan golongan tersebut.
"Malah, dengan adanya asrama ini, kawalan dan penguatkuasaan lebih mudah sebab ia berpusat dan impak kacau ganggu dapat dikurangkan," katanya.