ad

Asrama berpusat atasi isu penempatan tidak terkawal di Klang

1 Ogos 2025, 2:00 AM
Asrama berpusat atasi isu penempatan tidak terkawal di Klang
Asrama berpusat atasi isu penempatan tidak terkawal di Klang
Asrama berpusat atasi isu penempatan tidak terkawal di Klang
Asrama berpusat atasi isu penempatan tidak terkawal di Klang

OLEH SITI ROHAIZAH ZAINAL

KLANG, 1 OGOS: Penginapan pekerja berpusat atau Centralised Labour Quarters (CLQ), antara kemudahan yang perlu disediakan majikan bagi memelihara kebajikan golongan tersebut.

Kemudahan itu merupakan salah satu kaedah terbaik bagi menempatkan pekerja secara berkelompok dalam satu kawasan atau bangunan khas, dengan penyediaan pelbagai kemudahan asas.

Garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan pembangunan CLQ perlu dirancang secara sistematik, bagi memenuhi keperluan pekerja dan sesuai dengan persekitaran.

Penyediaan asrama pekerja yang berkualiti juga merupakan ketetapan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bawah Konvensyen Diskriminasi (Pekerjaan dan Jawatan), 1958 (No. 111).

Menyedari keperluan itu, CLQ yang menempatkan pekerja asing antara usaha terbaharu yang bakal dilaksanakan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), bagi menangani isu penginapan tidak terancang.

Sebanyak 10 kawasan dikenal pasti, dengan sasaran pembinaan asrama bertingkat itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. CLQ berkenaan bakal menempatkan 28,597 pekerja asing.

Menurut Datuk Bandar Klang, binaan itu menjadikan bandar raya berkenaan lebih tersusun dan bebas daripada penginapan pekerja jangka pendek (TLQ) di rumah kedai, teres dan perindustrian.

“Sebelum ini, pekerja asing berada di merata tempat, malah ada menyewa rumah kampung. Jadi, dengan adanya asrama berpusat, ia lebih teratur (selain) penguatkuasaan lebih mudah dilakukan.

“Pemeriksaan permit dan keselamatan bawah bidang kuasa polis tetapi MBDK boleh memantau aktiviti pembuangan sampah haram, kebersihan dan perniagaan tanpa kelulusan," kata Dato’ Abd Hamid Hussain.

Data MBDK menunjukkan sebanyak 553 unit TLQ menempatkan pekerja warga asing di sekitar kawasan industri dan perniagaan, manakala 119 unit di kawasan perumahan setakat ini.

Dalam temu bual bersama Media Selangor baru-baru ini, jelasnya, asrama tersebut bakal dilengkapi kemudahan asas seperti tempat makan, bilik mencuci pakaian, kedai runcit dan kawasan rehat.

Meskipun Klang bukan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama memiliki CLQ, namun pusat asrama bakal diaktifkan dalam masa terdekat berikutan daerah berkenaan terkenal sebagai kawasan perindustrian.

Kos pembinaan pula ditanggung sepenuhnya majikan atau pemaju, namun jika ada pihak lain yang berminat untuk menyewa asrama berkenaan, mereka boleh berbuat demikian mengikut panduan tertentu.

Pada masa sama, Abd Hamid mengingatkan majikan terlibat untuk mematuhi peraturan dengan segera memindahkan pekerja asing ke CLQ ditetapkan sejurus pembinaannya selesai.

"Selepas asrama berpusat ini siap, kita tidak lagi benarkan premis niaga sebagai penempatan. Kita mahu pekerja asing di tempat sewajarnya, lebih tersusun dan produktif,” jelasnya.

Berikut CLQ diluluskan MBDK:

-Lot 80112, Kawasan Johan Setia, Mukim Klang (1,360 penghuni)

-Lot 9210, Kawasan Perindustrian Telok Gong, Mukim Klang (2,584 penghuni)

-Lot 144458, Taman Perindustrian Pulau Indah, Mukim Klang (498 penghuni)

-PT65635, Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Mukim Kapar (5,712 penghuni)

-PT 49875, Kawasan Perindustrian Perepat, Mukim Kapar (3,780 penghuni)

-Lot 40, 41 &42, Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Mukim Kapar (750 penghuni)

-PT 64266, Kawasan Perniagaan Taman Klang Sentral,Mukim Kapar (2,232 penghuni)

-PT 64330, Kawasan Perniagaan Taman Klang Sentral, Mukim Kapar (528 penghuni)

-Lot 4953, Kawasan Perindustrian Meru Timur 10 (9,120 penghuni)

-PT 87881, Kawasan Perindustrian Ladang Acob, Mukim Kapar (2,033 penghuni)

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.