ad
AGENDA

Mais: Tukar nama Sisters In Islam tindakan wajar hormati titah Sultan

31 Jul 2025, 10:36 AM
Mais: Tukar nama Sisters In Islam tindakan wajar hormati titah Sultan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyambut baik tindakan pertubuhan Sisters in Islam (SIS) menggugurkan perkataan 'Islam' daripada nama mereka dan kini dikenali sebagai SIS Forum (Malaysia).

Pengerusi Mais, Senator Dato’ Salehuddin Saidin berkata langkah itu amat wajar serta mencerminkan kesediaan pertubuhan berkenaan untuk menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Ketua Agama Islam Negeri.

“Baginda menyampaikan hasrat melalui Mais agar SIS Forum (Malaysia) meneruskan usaha memberi kesedaran mengenai hak wanita dan undang-undang keluarga Islam mengikut ajaran Islam yang sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Senator Salehuddin turut menekankan bahawa SIS Forum (Malaysia), sebagai sebuah entiti yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat, perlu menumpukan perhatian ke arah memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan bahawa Sultan Selangor turut menasihatkan SIS Forum (Malaysia) serta mana-mana organisasi agar sentiasa menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Negeri.

Baginda turut menitahkan agar sebarang perkara berkaitan agama Islam dirujuk kepada pihak berkuasa agama negeri untuk mengelakkan kekeliruan.

“Baginda juga menyarankan agar SIS Forum (Malaysia) lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau penerbitan yang menyentuh hal agama Islam bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan ajaran sebenar mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya lagi.

Justeru itu, Mais menyarankan semua pihak agar tidak lagi merujuk pertubuhan tersebut sebagai 'Sisters in Islam' dalam sebarang kenyataan atau penerbitan pada masa akan datang.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.