SHAH ALAM, 31 JULAI: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo diingatkan supaya tidak bertindak seolah-olah "menepung tiada berberas" yang bermaksud banyak bercakap, namun tidak membawa manfaat, selepas mengeluarkan kenyataan menyerang perdana menteri.
Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Khir Toyo sepatutnya lebih insaf dengan sejarah hitam kepimpinannya yang mencatat pelbagai kontroversi dan salah laku.
“Khir Toyo merupakan Menteri Besar Selangor pertama yang dihumban oleh rakyat dalam pilihan raya akibat terpalit dengan pelbagai skandal, termasuk penghinaan kepada penjawat awam dalam kontroversi serah penyapu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Khir Toyo juga pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa kepada hukuman penjara 12 bulan, selain gelaran Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) ditarik balik oleh Sultan Selangor pada 30 September 2015 kerana kesalahan rasuah.
"Maka tidak perlulah menjadi seperti "menepung tiada berberas" yang bermaksud banyak bercakap tetapi tidak ada faedahnya," katanya.
Kenyataan itu merujuk kepada pandangan Khir Toyo yang menyifatkan laungan ‘Turun Anwar’ akan menjadi mantera rakyat sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim “jatuh”.