SHAH ALAM, 31 JULAI: Malaysia menyasarkan pelaksanaan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian hingga 95 peratus menjelang 2030.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sasaran itu bagi memastikan negara mencapai status negara berpendapatan tinggi berpacukan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Dengan usaha berterusan, Malaysia pasti berupaya mencapai kedudukan 20 terbaik dunia dalam Online Service Index serta mengekalkan Kategori A dalam GovTech Maturity Index,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga menteri kewangan memberitahu aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) juga akan dipergiat bagi meningkatkan produk dan perkhidmatan berasaskan ‘Made by Malaysia’.
“Infrastruktur digital negara juga akan dipertingkatkan bagi merangsang peluang ekonomi baharu, termasuk pelaburan dalam sektor pusat data.
“Sekurang-kurangnya 5,000 usaha digital diperlukan untuk membina ekosistem AI yang mampan, termasuk menerusi pengukuhan ‘digital trust’ bagi melindungi data peribadi, menangani ancaman siber serta mempertahankan kedaulatan digital negara,” maklumnya lagi.