OLEH DEWI ABDUL RAHMAN
HULU LANGAT, 26 JULAI: Kerajaan Selangor mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk menyiasat serta-merta insiden pencemaran yang dikesan di anak sungai di Sungai Klang, Hulu Kelang.
Menurut EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pembuangan efluen haram yang menyebabkan air sungai bertukar keruh dan hitam dalam tempoh yang sangat singkat.
“Pencemaran itu berlaku secara mengejut kerana sungai yang pada awalnya jernih, tiba-tiba bertukar keruh dan hitam. Ia berlaku sejurus selepas aktiviti menjala ikan bandaraya bersama penduduk setempat pagi tadi,” jelasnya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah, termasuk mengenakan denda maksimum mengikut peruntukan undang-undang yang ada.
“Tidak akan ada kompromi jika kita dapat kenal pasti syarikat yang terlibat. Kita sedang mengesan puncanya sekarang,” tegasnya.
Tambah beliau, kawasan berkenaan sememangnya merupakan lokasi yang aktif menjalankan aktiviti sungai dan gotong-royong penduduk setempat.
"Insiden ini juga merupakan aduan pertama yang diterima melibatkan pencemaran di kawasan tersebut.
"Tempat itu sememangnya lokasi untuk aktiviti menjala di kawasan hulu, dan berada di bawah seliaan kumpulan Friend of River dan sungai tersebut aktif dengan pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong dan kerja-kerja pembersihan," katanya selepas merasmikan Program Selangor Agro Green 2025 di sini, hari ini.
Beliau turut menyatakan kekesalan terhadap sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang masih membuang sisa ke dalam sungai, meskipun menyedari sungai merupakan sumber air utama kepada rakyat.
"Saya sendiri kadang-kadang tidak faham bagaimana sesetengah orang boleh begitu mudah membuang sisa dan bahan cemar ke dalam sungai.
"Sedangkan sungai dan air itu sendiri adalah sumber kehidupan. Namun kita seolah-olah langsung tidak rasa bersalah atau menghargai sungai dan sumber air yang kita miliki. Kita sewenang-wenangnya mencemarinya tanpa memikirkan akibat," katanya.