ad
BERITA UTAMA

SIBS 2025 tonjol kekuatan Asean, pacu Selangor jadi hab dagang serantau

24 Jul 2025, 1:00 AM
SIBS 2025 tonjol kekuatan Asean, pacu Selangor jadi hab dagang serantau
SIBS 2025 tonjol kekuatan Asean, pacu Selangor jadi hab dagang serantau
SIBS 2025 tonjol kekuatan Asean, pacu Selangor jadi hab dagang serantau
SIBS 2025 tonjol kekuatan Asean, pacu Selangor jadi hab dagang serantau

SHAH ALAM, 24 JUL: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 yang berlangsung Oktober depan tampil lebih segar dengan menonjolkan kekuatan budaya dan ekonomi rantau Asean.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata penganjuran edisi kali ini diyakini mampu mengukuhkan peranan Selangor sebagai hab dagang dan pelaburan serantau yang progresif.

“SIBS ialah aspirasi Selangor menjadi sebuah hab pelaburan dan inovasi yang inklusif, dinamik serta bersifat serantau selari dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini,” katanya kepada Media Selangor.

[caption id="attachment_671270" align="aligncenter" width="718"] Pengunjung hadir melihat ke pelbagai reruai yang mempromosi pelbagai produk ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 17 OKtober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, SIBS 2025 menawarkan lebih 700 reruai yang menghimpunkan pemain industri dari dalam dan luar negara.

Setakat ini, lebih 300 reruai disahkan disertai delegasi antarabangsa termasuk dari Kenya, Uganda, Thailand, Korea Selatan dan Brunei, selain agensi tempatan serta wakil negeri lain.

“Persiapan kini mencapai 50 peratus, merangkumi promosi di seluruh Asia Tenggara, susun atur reruai dan pelaksanaan program padanan perniagaan rentas sempadan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penganjur sedang merangka pelbagai forum dan sesi pemadanan strategik bagi membuka ruang kerjasama lebih luas antara pelabur serta usahawan.

[caption id="attachment_688915" align="aligncenter" width="794"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz melawat reruai selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Pada Februari lalu, Sze Han memaklumkan SIBS tahun ini memperkenalkan dua acara baharu iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS), yang sebelum ini dikenali sebagai Pameran Udara Selangor.

Dengan sasaran nilai transaksi mencecah RM10 bilion serta jangkaan kehadiran 50,000 pengunjung, SIBS diyakini terus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pintu masuk ekonomi Malaysia ke peringkat antarabangsa.

SIBS 2024 yang dianjurkan dalam dua siri pada Julai dan Oktober lalu merekodkan nilai transaksi berjumlah RM13.86 bilion, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM6.12 bilion pada 2023.

[caption id="attachment_609501" align="aligncenter" width="775"] Pengunjung tertarik melihat robot pintar di reruai Entomal Biotech pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.