SHAH ALAM, 23 JULAI: Selangor bercadang mewujudkan enakmen bagi memastikan persekitaran pusat penjagaan dalam keadaan selamat, selasa dan berperikemanusiaan.
EXCO kebajikan masyarakat menjelaskan terdapat banyak kelompongan dalam undang-undang atau dasar berhubung pusat penjagaan bukan hanya di Selangor tetapi seluruh negara.
“Sebagai contoh berkaitan syarat bangunan (pusat penjagaan) atau ratio penjaga dan yang dijaga. Semua ini berkaitan undang-undang yang mana masih ada kelompongan.
“Kita akan cuba minta di peringkat persekutuan atau mungkin boleh mulakan dengan enakmen di negeri melalui undang-undang kecil di setiap pihak berkuasa tempatan,” kata Anfaal Saari.
Beliau berkata demikian ketika program Hi-tea Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) bersama 120 rakan strategik dan prospek perniagaan di Hotel Saujana, di sini semalam.
[caption id="attachment_470354" align="alignnone" width="916"] Warga emas Bait al-Mawaddah mendengar ceramah yang disampaikan oleh Pencetus Ummah Nor Hamizi Jamaluddin secara maya di pusat jagaan itu pada 30 April 2021. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor[/caption]
Dalam pada itu, Anfaal berkata Kerajaan Selangor melalui jawatankuasa khas aktif menambah baik semua pusat jagaan kanak-kanak termasuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
“Oleh itu, kewujudan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) nanti sudah pasti dapat menghubungkan lagi pelbagai platform dan cadangan yang dikemuka peserta boleh dijadi rujukan persekutuan dan Kerajaan Negeri melaksanakan tindakan susulan,” katanya.
SICS dianjurkan pada 9 hingga 11 Oktober ini bersekali dengan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), menggabungkan pelbagai komponen seperti forum, persidangan, padanan perniagaan dan sesi libat urus.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai SICS sebagai pempamer atau peserta boleh melayari laman sesawang selangorcaresummit.com.