AGENDA

Fomca mahu wakil persatuan pengguna dilantik dalam suruhanjaya kredit

23 Jul 2025, 1:00 AM
Fomca mahu wakil persatuan pengguna dilantik dalam suruhanjaya kredit
Fomca mahu wakil persatuan pengguna dilantik dalam suruhanjaya kredit
Fomca mahu wakil persatuan pengguna dilantik dalam suruhanjaya kredit

SHAH ALAM, 23 JUL: Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang bakal ditubuhkan menerusi Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 disaran merangkumi penyertaan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil persatuan pengguna.

Naib Presiden merangkap Penasihat Undang-Undang Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata langkah itu penting bagi memastikan dasar dan pengawasan kredit pengguna dilaksanakan secara adil, seimbang dan berpaksikan kepentingan awam.

[caption id="attachment_711809" align="aligncenter" width="773"] Naib Presiden merangkap Penasihat Undang-Undang Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Indrani Thuraisingham[/caption]

“Kita harap suruhanjaya ini juga diwakili oleh NGO (badan bukan kerajaan). Jangan hanya dari pihak kerajaan dan juga dari pihak swasta. Kena ada juga ahli-ahli dari NGO seperti persatuan pengguna,” kata Datuk Indrani Thuraisingham kepada Media Selangor.

Beliau turut mencadangkan supaya SKP membentangkan laporan tahunan di Parlimen sebagaimana amalan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

“Laporan tahunan harus dibentangkan. Seperti mana Suhakam, mereka perlu bentangkan laporan tahunan di Parlimen. Jadi, isu ini pun adalah satu isu penting, berkait ekonomi negara,” katanya.

Beliau menambah, Fomca menyambut baik penggubalan undang-undang tersebut sebagai langkah strategik menangani krisis hutang isi rumah yang semakin membimbangkan.

“Kita mengalu-alukan RUU ini sebab kalau dilihat statistik sekarang menunjukkan hutang keluarga (isi rumah) semakin menaik. Akses kepada kredit itu terlalu mudah. Jika terlalu mudah, sampai semua orang menjadi penghutang. Jadi dengan adanya RUU ini ia akan dapat kurangkan.

“Jika berhutang, ini bermakna kita tidak ada duit untuk simpanan kecemasan, kita terlalu fokus untuk lunaskan hutang,” katanya.

Indrani yakin RUUKP bakal memberi kesan positif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mewakili lebih 80 peratus syarikat berdaftar di negara ini.

Katanya, pemantauan dan kawal selia lebih kukuh menerusi SKP akan membantu struktur kewangan syarikat menjadi lebih mantap, sekali gus mengelak risiko penutupan perniagaan.

“Dengan RUU ini, dalam jangka masa panjang, rakyat boleh uruskan hutang dengan lebih sistematik dan teratur. Bila ada simpanan, hidup rakyat juga akan menjadi lebih baik dan sejahtera,” ujarnya.

Kelmarin, Dewan Rakyat meluluskan RUUKP 2025 bagi melindungi kepentingan pengguna kredit di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata penggubalan RUU itu bertujuan menangani kelompongan kawal selia dalam sektor yang menyasarkan pengguna kredit rentan dan mudah dieksploitasi.

RUU turut bertujuan menyeragamkan rangka kerja kawal selia kredit pengguna yang kini berbeza mengikut sektor.

Melaluinya, SKP akan ditubuhkan sebagai badan utama mengawal selia perniagaan kredit yang kini beroperasi tanpa lesen atau pemantauan khusus.