IPOH, 22 JULAI: Tiga warga emas maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 328.9 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Tapah ke Bidor hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.19 pagi dan tujuh anggota bergegas ke lokasi.
Beliau berkata mangsa yang maut ialah Chong Ong, 77; Teh Kim Kai, 76 dan Tan Ah Tak, 70.
"Kemalangan itu melibatkan perlanggaran sebuah kereta jenis Toyota Vios dan Proton X50.
“Mangsa lelaki yang menaiki Toyota Vios cedera manakala lima mangsa lelaki menaiki Proton X50 iaitu dua mangsa cedera dan tiga lagi maut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarozi berkata mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata kesemua mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah manakala punca kemalangan sedang disiasat.
- BERNAMA