SHAH ALAM, 21 JULAI: Kerajaan Negeri menolak pelaksanaan sistem i-Mesra sebagai platform pengesahan dan semakan premis makanan yang menggunakan bahan mentah halal atau patuh syariah.
EXCO hal ehwal agama Islam berkata sistem ini berisiko menimbulkan kekeliruan kepada pengguna, terutamanya umat Islam kerana ia tidak menjamin produk atau perkhidmatan tersebut memenuhi piawaian dan standard halal yang ditetapkan.
Tegas Dr Mohammad Fahmi Ngah, hanya Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) sahaja diiktiraf sebagai bukti perakuan halal.
"Kerajaan Negeri menggesa semua pengusaha dan pemilik premis di seluruh Selangor mengelakkan membuat pengesahan atau pengisytiharan yang mengelirukan.
"Mereka juga perlu memastikan sebarang pengesahan halal hanya dibuat setelah memperolehi pensijilan halal yang diiktiraf daripada pihak berkuasa berwibawa," katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 sekiranya didapati menyalahgunakan logo atau takrifan halal yang mengelirukan.
"Kerajaan Negeri akan terus komited dalam memastikan umat Islam di negeri ini dapat membuat pilihan yang diyakini bersih, suci dan halal," katanya.
Sebarang aduan atau maklumat berkaitan penyalahgunaan logo halal tanpa kebenaran boleh disalurkan melalui Seksyen Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di talian 03-5514367 atau 011-55820212.
Aduan juga boleh dibuat menerusi e-mel [email protected] atau [email protected]