ad
AGENSI

MetMalaysia: Selangor, barat Johor paling terkesan jerebu rentas sempadan

21 Jul 2025, 11:09 AM
MetMalaysia: Selangor, barat Johor paling terkesan jerebu rentas sempadan
MetMalaysia: Selangor, barat Johor paling terkesan jerebu rentas sempadan

Oleh Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 21 JULAI: Selangor dan bahagian barat Johor paling terjejas akibat jerebu rentas sempadan, susulan tiupan angin Monsun Barat Daya yang membawa asap kebakaran hutan di tengah dan selatan Sumatera, Indonesia.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang, analisis imej satelit mengesahkan kehadiran sejumlah besar titik panas di kawasan terbabit, selari dengan tiupan angin semasa yang membawa asap ke kawasan pantai barat Semenanjung.

"Sebenarnya, ia dapat dikesan melalui imej satelit kerana imej satelit boleh memberikan maklumat tentang lokasi titik panas atau kawasan kebakaran, termasuk jumlah lokasi yang terlibat. Imej satelit juga membantu mengesan kawasan yang sedang mengalami jerebu. Namun, bagi meramal pergerakan jerebu, kita bergantung kepada model ramalan yang berdasarkan arah dan kelajuan tiupan angin.

“Imej satelit mengesan sejumlah besar titik panas di Sumatera, dalam masa sama pergerakan asap adalah konsisten dari arah barat daya, bermaksud angin itu datang daripada punca kebakaran dan terus menuju ke negara kita terutamanya di pantai barat Semenanjung.

"Jadi kita mengalami jerebu sejak hujung minggu lepas sehingga hari ini tetapi sudah mulai berkurangan," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata, keadaan ini berisiko berlarutan sekiranya kebakaran tidak dikawal dan angin terus bertiup dari arah yang sama.

“Fenomena ini lazim semasa Monsun Barat Daya, yang selalunya panas dan kering, menyumbang kepada kebakaran hutan dan tanah gambut di rantau ini.

"Kalau bilangan kawasan kebakaran dapat dikurangkan atau dihapuskan, jerebu tidak akan berlaku. Namun, jika kebakaran terus berlaku dan angin masih bertiup dari arah barat daya, negara kita akan terus terkesan,” katanya.

[caption id="attachment_354520" align="alignnone" width="888"] Kelihatan penduduk kampung menutup mulut dan hidung untuk mengelak daripada terhidu asap kebakaran hutan di Kampar, Riau pada 22 September 2019. Foto AFP[/caption]

Tambah Ambun, keadaan dijangka pulih secara berperingkat apabila fasa peralihan monsun bermula sekitar Oktober, yang membawa lebih banyak hujan dan kelembapan.

"Keadaan atmosfera di negara kita telah kembali lembap dan kita tidak menjangkakan akan berlaku kebakaran hutan pada masa itu nanti," jelasnya.

Beliau menasihatkan orang ramai terus memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta mengelakkan pembakaran terbuka.

"Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka, minum air secukupnya, menghadkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka di kawasan terjejas," tambahnya lagi.

Bacaan IPU boleh disemak secara langsung menerusi laman sesawang https://eqms.doe.gov.my, manakala MetMalaysia terus bekerjasama dengan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) bagi pemantauan berterusan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.