SHAH ALAM, 21 JUL: Kerajaan Negeri bakal melaksanakan program Ambulans Kita Selangor, satu inisiatif baharu yang menyediakan perkhidmatan ambulans bukan kecemasan secara percuma kepada golongan memerlukan.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata perkhidmatan itu khusus bagi membantu pesakit ke janji temu, rawatan susulan dan berkala di hospital atau pusat rawatan bertauliah.
"Melalui Program Ambulans Kita Selangor, Kerajaan Negeri berhasrat menawarkan perkhidmatan ambulans yang lebih efisien, sistematik dan mudah diakses.
"St. John Ambulans Malaysia Negeri Selangor akan bertindak sebagai rakan strategik penting dalam pelaksanaan inisiatif ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jamaliah mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal St. John Ambulans Malaysia Negeri Selangor di Setia Alam malam tadi.
Tambahnya, penglibatan St. John Ambulans sebagai rakan pelaksana dijangka memperluas capaian inisiatif serta mengukuhkan sistem sokongan kesihatan negeri secara menyeluruh.
"Ini juga membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh sektor perkhidmatan kesihatan awam, dengan kerjasama rakan strategik yang berpengalaman dan dipercayai," katanya lagi.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada St. John Ambulans atas sumbangan berterusan mereka dalam perkhidmatan kecemasan, pendidikan pertolongan cemas serta pelbagai inisiatif kebajikan termasuk penubuhan Unit Penjagaan Mata.
Majlis Makan Malam Amal itu diadakan bagi mengumpul dana menyokong pelbagai program kebajikan serta pembangunan ibu pejabat baharu pertubuhan berkenaan sebagai pusat operasi, latihan dan pengurusan sukarelawan yang lebih terancang.
Jamaliah turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang terlibat menjayakan majlis berkenaan.