ad
PENDAPAT

Belanja berhemah, perketat syarat elak jebakan hutang BNPL e-dagang

21 Jul 2025, 3:41 AM
Belanja berhemah, perketat syarat elak jebakan hutang BNPL e-dagang
Belanja berhemah, perketat syarat elak jebakan hutang BNPL e-dagang

OLEH DANIAL DZULKIFLY

Skim transaksi ‘beli dulu bayar kemudian’ (BNPL) berkembang menjadi sebahagian gaya hidup golongan muda.

Berdasarkan data Kementerian Kewangan, jumlah transaksi skim tersebut meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas.

Malah, setakat Disember 2024, sebanyak 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif, majoritinya berusia antara 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan.

Walaupun data terkini menunjukkan pengguna BNPL secara umum masih boleh menguruskan hutang mereka, wujud kebimbangan jika skim itu digunakan tanpa kawalan.

Dek cetek ilmu pengurusan kewangan, pengguna BNPL berisiko berdepan jebak hutang tanpa sedar sehingga menjejaskan kemampuan kewangan jangka panjang mereka.

Susulan itu, penasihat kewangan menyarankan keperluan untuk mewujudkan peraturan lebih ketat bagi industri pemberi kredit bukan bank termasuk BNPL.

"70 peratus ahli Kumpulan Simpanan Wang Pekerja memilih untuk menyimpan wang dalam Akaun 3 (Akaun Fleksibel), menunjukkan majoriti masyarakat mempunyai keadaan kewangan yang baik.

“Namun, kempen kesedaran mengenai literasi kewangan perlu dilaksanakan secara berkala dan konsisten bagi mengelak risiko kegagalan atau kelewatan pembayaran," kata ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menasihatkan pengguna supaya berbelanja secara berhemah kerana skim itu menyediakan akses kredit lebih luas, terutamanya bagi golongan sukar mendapat pembiayaan melalui sistem perbankan tradisional.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ekonomi, beliau turut menekankan kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 yang dijangka diwartakan menjelang akhir tahun ini.

Penggubalan RUU itu jelasnya, langkah positif ke arah mengawal selia penyedia perkhidmatan BNPL dan menjamin perlindungan pengguna.

“Melalui undang-undang seperti perlindungan kredit pengguna, kita boleh mewujudkan kawalan terhadap sebarang amalan tidak beretika oleh penyedia BNPL,” tambahnya.

Risiko gagal bayar

Bagi kebanyakan pengguna, skim BNPL ibarat penyelamat, terutamanya ketika musim perayaan dan kempen jualan terbesar 11.11 atau 12.12.

Konsep itu menyerupai amalan kredit tradisional yang membenarkan pelanggan membeli secara kredit dan membuat bayaran dalam tempoh tertentu.

Namun, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arshad Ayub Graduate Business School Prof Tan Peck Leong menyifatkan kaedah itu hanya menggalakkan perbelanjaan secara tidak terancang.

Kebimbangan utama adalah golongan belia. Bahkan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut memberi amaran pengurusan kewangan lemah dalam kalangan belia semakin meresahkan.

Setakat ini, kira-kira 53,000 individu berumur bawah 30 tahun sedang menjalani sesi kaunseling akibat hutang kad kredit.

“Akses mudah kepada kredit BNPL, terutamanya melalui platform e-dagang, memudahkan golongan muda tanpa pendapatan tetap, termasuk pelajar menanggung hutang melebihi kemampuan mereka.

“Ramai tidak faham kesan jangka panjang jika gagal bayar balik. Ketiadaan simpanan mencukupi untuk menampung perbelanjaan luar jangka boleh mendedahkan mereka kepada perangkap hutang," katanya.

Beliau mencadangkan agar syarat kelayakan pengguna skim BNPL dihadkan kepada golongan berpendapatan tetap bagi membendung perbelanjaan berlebihan.

“Kita perlukan syarat kelayakan yang lebih ketat bagi memastikan hanya mereka yang berpendapatan tetap dibenarkan mengakses kemudahan kredit BNPL.

"Pada masa ini, golongan muda termasuk pelajar diberikan akses dengan terlalu mudah. Keadaan ini perlu diubah,” katanya lagi.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Desmond Chong Kok Fei pula mengesyorkan dasar untuk mengehadkan akses mudah kepada perkhidmatan BNPL dan pinjaman tidak bercagar.

"Langkah-langkah diperkenalkan Bank Negara Malaysia pada 2011 terhadap kelulusan kad kredit yang menetapkan kriteria lebih ketat kepada pemohon juga boleh dilaksanakan ke atas perkhidmatan BNPL.

"Had ke atas jumlah kredit serta penilaian menyeluruh terhadap pendapatan dan tahap hutang pemohon boleh membendung pinjaman berlebihan," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.