Ragbi lebih sinonim dengan kaum lelaki, namun beberapa figura wanita berbakat besar berjaya mengubah landskap sukan lasak itu di Malaysia.
Rozliana Mohd Ridwan, 35, Nur Izzah Azizan, 26, dan Puteri Dulillah Badrul Hisham, 18, antara nama-nama yang sering menjadi sebutan dek kelincahan di atas padang.
Ketiga-tiga mereka memacu pasukan Cobra Venom menjuarai Liga Ragbi Wanita anjuran Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS)- Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 26-12 pada 22 Jun.
Selaku kapten, Rozliana bijak mengatur strategi. Taktikalnya berjaya membantu pasukan melakar beberapa kejayaan sehingga ke peringkat kebangsaan.
Keberaniannya di atas padang menjadikan beliau sentiasa digeruni bukan saja oleh pasukan lawan tapi juga pemain lelaki.

Perjalanan karier wanita ini dalam sukan ragbi yang disertai ketika berusia 27 tahun penuh suka duka. Apatah lagi beliau sebelum ini bermula dengan sukan bola jaring.
Rozliana yang juga pemain kebangsaan sering berdepan pandangan skeptikal masyarakat yang melihat ragbi sebagai sukan ‘terlalu ganas’ untuk wanita.
Namun, semangatnya tidak pernah luntur. Dengan sokongan keluarga dan rakan sepasukan, wanita berhijab itu terus membuktikan kemampuan luar biasa dimilikinya.
Tugas Rozliana tidak mudah. Bukan sahaja mengetuai pasukan, beliau turut memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat muda dalam sukan ini.

"Kami bukan sekadar bermain, kami mahu diiktiraf setaraf. Ragbi bukan sukan milik lelaki saja. Walaupun saya dan beberapa lagi pemain bertudung, ia bukan penghalang," katanya.
Naib kapten, Nur Izzah mula bermain dengan pasukan Cobra Venom pada 2018 kerana meminati strategi sukan tersebut.