ad
AGENDA

10 tahun 1MDB: Impak ekonomi negara

20 Jul 2025, 2:00 AM
10 tahun 1MDB: Impak ekonomi negara

SHAH ALAM, 20 JULAI: Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan ketirisan wang berjumlah berbilion ringgit pastinya memberi risiko besar terhadap beban ekonomi negara.

Hal tersebut disahkan oleh Pakar Ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai yang berpendapat ekonomi Malaysia berada di landasan tepat serta menjadi contoh pelbagai negara, sehinggalah skandal kewangan itu diketahui dunia.

Kesannya, Dr Barjoyai berkata kerajaan hilang kepercayaan daripada pelabur luar dan turut dikaitkan sebagai negara yang mengamalkan jenayah rasuah, selain misi negara maju menjelang 2020 gagal direalisasikan.

“Selepas kes ini didedahkan, tiba-tiba Malaysia dianggap sebagai negara yang paling teruk tahap rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding dengan negara lain.

“Dan selepas tu banyak kes-kes lain yang cuba di dikorek dan untuk dipadankan dengan sikap dan sifat Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh korupsi tadi,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia memperoleh purata 52 skor dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dari 2012 hingga 2014, sebelum menurun pada tahun-tahun berikutnya sehingga 2018.

Bagaimanapun, negara mendapat 53 skor pada 2019, sekali gus berada di kedudukan ke-51, naik 10 anak tangga berbanding tahun sebelumnya - dipercayai disumbangkan faktor perbicaraan kes 1MDB yang baharu bermula ketika itu.

Dalam pada itu, Malaysia kembali menonjolkan keupayaannya, kata Dr Barjoyai, apabila Ketua Audit Negara memperoleh jumlah tertinggi bagi mempertahankan kerusi ahli Asian Organization of Supreme Audit Institutions (ASOSAI) Governing Board pada tahun lalu.

Perhimpunan ASOSAI itu menghimpunkan 48 institusi audit dari seluruh rantau Asia, sekali gus mengiktiraf keupayaan Jabatan Audit Negara dan peranan Malaysia dalam pembangunan serta kompetensi.

“Secara keseluruhannya saya rasa ekonomi kita semakin baik pengurusannya dan kewangan kita pun semakin baik. Kita lihat bahawa perbendaharaan kita juga dinobatkan sebagai jabatan terbaik misalnya dalam pengurusan,” katanya.

Pensyarah kanan di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) ini berkata kes 1MDB turut menjadi rujukan beberapa negara yang kemudiannya menambahbaik perundangan kewangan masing-masing.

Namun, ahli akademik itu berpendapat skandal tersebut tidak akan terjadi atau sekurang-kurangnya berisiko kecil jika kakitangan awam dan pegawai tidak merasa taksub terhadap pemimpin sehingga gagal ditegur.

“Apa yang membezakan situasi di negara membangun dengan negara maju ialah ketaksuban pegawai kerajaan kepada pemimpin. Sehingga mereka tidak berani untuk menegur, tidak berani menghalang untuk mengawal keadaan.

“Disebabkan pemimpin itu mungkin dilihat terlalu berkuasa, sehingga mereka (pemimpin) dikatakan berkeupayaan untuk menjejaskan kedudukan mereka (pegawai),” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.