SHAH ALAM, 19 JULAI: Jerebu rentas sempadan didapati melanda beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia ketika ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, sebanyak 79 titik panas di kawasan Sumatera berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu itu yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.
Jelas Dr Mohd Hisham Mohd Anip, ia berdasarkan laporan analisis daripada imej satelit NOAA-20 semalam yang dikeluarkan oleh Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC).
“MetMalaysia tidak menjangkakan sebarang cuaca hujan atau perubahan arah tiupan angin bagi mengurangkan kesan jerebu berkenaan dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, memandangkan ia boleh menyebabkan keadaan jerebu bertambah buruk dan pencemaran terhadap alam sekitar.
“Orang ramai turut dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih menerusi laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia.
“Hubungi talian Hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.
Setakat 3 petang hari ini, laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar menunjukkan enam kawasan di Selangor termasuk dalam 62 lokasi mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana sekitar 50 hingga 100.
Ia termasuk Johan Setia, Banting, Petaling Jaya, Shah Alam, Kuala Selangor dan Klang. Sementara itu, Port Dickson, Negeri Sembilan mencatat IPU tidak sihat dengan bacaan 117.


