SHAH ALAM, 19 JULAI: Kira-kira 10,000 hadirin mengikuti syarahan perdana di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini sempena Festival Turath Islami Selangor (FTIS 3.0) malam tadi.
Ceramah disampaikan pendakwah terkenal Indonesia, Dr Adi Hidayat turut disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Sebelum bermula syarahan bertajuk "Pedoman Mendidik Anak ke Arah Menghargai Warisan Keilmuan Islam", program yang menjadi antara kemuncak FTIS kali ini menayangkan video ucapan mantan Mufti Besar Mesir.
[caption id="attachment_711079" align="alignnone" width="923"] Dr Adi Hidayat menyampaikan Syarahan Perdana “Pedoman Mendidik Anak ke Arah Menghargai Warisan Keilmuan Islam” sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahduddin Abdul aziz Shah, Shah Alam pada 18 Julai 2025 Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam ucapannya, Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab berkata program seperti ini mampu menerapkan manhaj Islam dalam realiti kehidupan masyarakat, justeru perlu dimanfaatkan sepenuhnya dari sudut pengetahuan, pemikiran dan agama.
“Demi kebaikan kehidupan seharian dan kesempurnaan kesejahteraan. Pada tahun yang ketiga (penganjuran) ini, saya amat berharap untuk bersama kalian dalam sambutan terhadap warisan Islam ini namun dihalang oleh doktor,” katanya.
Dalam program sama, turut diadakan segmen penghargaan khas kepada Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia Prof Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty yang meninggal dunia pada Jun lalu.
[caption id="attachment_711080" align="alignnone" width="817"] Anak muda yang menyertai Syarahan Perdana “Pedoman Mendidik Anak ke Arah Menghargai Warisan Keilmuan Islam” sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Julai 2025 Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
FTIS 3.0 bermula sejak 12 Julai hingga esok menampilkan 18 tokoh agama dan ulama tersohor, yang akan menjalankan tiga sesi pengajian setiap hari bermula jam 9 pagi manakala sesi petang antara jam 4.45 petang hingga 8.45 malam.
Festival itu turut dimeriahkan dengan pameran sekurang-kurangnya 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.
Selain Adi Hidayat, empat lagi tokoh ilmuwan Islam terkemuka iaitu Prof Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari, Prof Dr Idris al-Kharshafi, Dr Mohammad Akram an-Nadwi dan Dr Majd Makki dijemput mengupas dua kitab tafsir agung karya Imam as-Suyuti.