SHAH ALAM, 18 JUL: Kajian mendalam pakar hadis Dr Mohammad Akram an-Nadwi menerusi buku Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis menangkis tanggapan kononnya wanita Islam tidak memainkan peranan dalam perkembangan ilmu.
Beliau berkata dakwaan sebuah artikel akhbar di United Kingdom (UK) pada 1994 yang menyifatkan wanita Muslim sebagai mundur dan tidak menyumbang kepada keilmuan adalah tidak berasas.
Sebaliknya, penyelidikan selama 15 tahun yang dijalankan pengasas Institut As-Salam, UK itu berjaya merekodkan sekitar 10,000 wanita sebagai perawi hadis yang bukan sahaja meriwayatkan, malah turut mengajar hadis.
[caption id="attachment_710979" align="aligncenter" width="812"] Pengarang Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis Syeikh Dr Mohammad Akram an-Nadwi menyampaikan syarahan khas ketika majlis perasmian Festival Buku Islami dan Pelancaran Buku Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Hasil kajian diperoleh daripada pelbagai khazanah Islam termasuk manuskrip dari Turkiye, Arab Saudi dan India sekali gus membuktikan peranan besar wanita Muslim dalam bidang tersebut.
“Seramai 400 (guru) wanita untuk seorang murid. Seorang ulama, gurunya 400 orang wanita. Bayangkan betapa banyaknya wanita yang belajar.
Jadi ini menunjukkan bahawa berapa ramai wanita terpelajar berada dalam setiap bandar,” katanya ketika menyampaikan syarahan khas ketika pelancaran buku berkenaan sempena Festival Turath Islami Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam semalam.
Dekan Kolej Islam Cambridge itu berkata, tradisi keilmuan wanita dalam Islam bermula sejak zaman sahabat, diteruskan generasi tabi’in dan berkembang sepanjang setiap kurun hingga generasi terkemudian.
Jelasnya, wanita pada zaman tersebut turut memberi fatwa serta menjadi guru kepada perawi lelaki di kota-kota ilmu seperti Makkah, Madinah, Kufah, Basrah, Baghdad, Syria, Bukhara, Samarkand, Isfahan, Sepanyol dan India.
[caption id="attachment_710977" align="aligncenter" width="760"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bergambar bersama pengunjung sempena majlis perasmian Festival Buku Islami dan Pelancaran Buku Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Lebih menarik, catatan sejarawan Islam Ibn Najjar, pengarang Dzail Tarikh Baghdad menyebut beliau pernah berguru dengan 400 guru wanita.
Pada kurun kedua Hijrah pula, Imam Muslim Ibn Ibrahim al-Farahidi guru kepada Imam al-Bukhari dan Imam Abu Daud dilaporkan menuntut ilmu daripada 70 wanita di Basrah.
Mohammad Akram berkata, biografi lengkap 10,000 perawi wanita yang dikaji selama 15 tahun ketika beliau berkhidmat di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford dihimpunkan dalam 50 jilid kitab berjudul al-Wafa’ fi Asma an-Nisa’.
Kitab Muhaddisat: Wanita Perawi Hadis terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mengandungi 10 bab, merupakan ringkasan kepada pengenalan koleksi biografi tersebut.
Naskhah itu diterjemah daripada karya asal berbahasa Inggeris bertajuk al-Muhaddisat: The Woman Scholar in Islam yang diterbitkan pada 2007.