SHAH ALAM, 17 JULAI: Penganjuran Festival Turath Islami Selangor (FTIS) menggalakkan masyarakat moden menerokai keluasan ilmu agama dengan penuh keberkatan.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata program itu membolehkan masyarakat menghayati ilmu agama sambil mengisi kekosongan jiwa.
"Bagi saya disaat Islam dan pandangan berkaitan agama Islam semakin tajam malahan ada juga aspek popular atau budaya yang menerkam sampai hanya dijadikan perhiasan.
“Oleh itu, kita perlu kembali kepada asas dengan melihat kitab agama sebagai antara motif dan unsur utama kewujudan Festival Turath Islami ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara khas Anekdot Pencerahan yang dihoskan oleh Zainal Rashid Ahmad melalui Facebook ZRA Strim malam tadi.
[caption id="attachment_710023" align="aligncenter" width="688"] Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam Majlis Perasmian Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam Selangor pada 12 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurut Amirudin lagi, festival yang kini memasuki tahun ketiga itu banyak memberi pendedahan bermanfaat daripada tokoh-tokoh agama tersohor, termasuk Mufti Agung Mesir, Prof. Dr. Ali Juma'ah.
“Prof. Dr. Ali Juma'ah telah mengumpulkan lebih sejuta karya turath, dan koleksi ini telah mengembalikan kekuatan serta keutuhan Universiti Al-Azhar di Mesir, selain meningkatkan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajarnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat untuk menyertai dan mengikuti FTIS 3.0 sama ada secara fizikal di Masjid Negeri Shah Alam atau melalui platform media sosial rasmi FTIS.
FTIS 3.0 yang berlangsung dari 12 hingga 20 Julai menampilkan 18 tokoh agama dan ulama tersohor. Tiga sesi pengajian diadakan setiap hari bermula jam 9 pagi, manakala sesi petang berlangsung antara jam 4.45 petang hingga 8.45 malam.
Festival ini turut dimeriahkan dengan pameran sekurang-kurangnya 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan yang berusia lebih 100 tahun, bertempat di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.